ECRL catat kemajuan luar biasa – CEO MRL

KUALA LUMPUR, 4 Mac : Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion mencatatkan kemajuan luar biasa hanya dalam tempoh 13 bulan selepas pelancarannya dengan kerjasama kukuh antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata projek sepanjang 688 kilometer menghubungkan Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor itu dijadualkan siap pada 2024.

 

“Kami mencatatkan kemajuan memberangsangkan sejak 13 bulan lepas, termasuk proses memberi kerja-kerja kepada kontraktor tempatan.

 

“Dalam tempoh enam tahun lagi, ECRL akan berperanan membantu mengimbangi pertumbuhan antara negeri di pantai timur dan pantai barat,” katanya semasa program Temu Bual Khas bersama Bernama​​​​​​​News Channel (BNC) yang disiarkan baru-baru ini.

 

Program itu boleh dilayari di www.bernama.com.

 

Beliau berkata, sebaik  sahaja siap, ECRL akan memiliki antara sistem isyarat kereta api paling canggih di dunia, sistem radio liputan penuh, kawalan tren berpusat dan infrastruktur kabel gentian optik.

 

Darwis berkata ECRL akan memberi limpahan ekonomi serta kesan sosial positif kepada negeri di pantai timur.

 

“Ia akan menjadi pemangkin bagi keseimbangan ekonomi antara pantai barat dan pantai timur memandangkan projek ini akan menyuntik pelaburan, merancakkan aktiviti komersial, mewujudkan pekerjaan​​​​​​​ yang banyak, memudahkan pendidikan berkualiti dan melonjakkan pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

 

Mengenai perkembangan projek itu setakat ini, beliau berkata, kerja-kerja telah bermula di kesemua​​​​​​​ lapan seksyen dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Terminal Bersepadu Gombak (ITT), Selangor di bawah​​​​​​​ fasa satu.

 

Fasa satu projek itu merangkumi pembangunan 600.3 kilometer laluan rel di empat negeri, bermula​​​​​​​ dari Kota Bharu ke ITT Gombak.

 

Kerja-kerja awal termasuk pembersihan tanah, kerja-kerja tanah, membina asas laluan rel, membangunkan pangkalan dan satelit, mewujudkan akses jalan raya dan mendirikan benteng.

 

Pembinaan 12 stesen penumpang, tiga stesen barangan angkut dan tujuh stesen gabungan​​​​​​​ penumpang dan barangan angkut juga akan dilaksanakan di bawah fasa satu, katanya.

 

“Dari Kota  Bharu ke Kerteh, akan ada lima jambatan pada 6.3 kilometer dari daratan serta jejambat untuk mengelak kejadian banjir manakala laluan rel juga akan merentasi Banjaran Titiwangsa menuju ke ITT Gombak,” katanya.

 

Darwis berkata, fasa kedua pula melibatkan pembangunan laluan rel sepanjang 88 kilometer dari​​​​​​​ Kota Bharu ke Pengkalan Kubur di Kelantan dan dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang di Selangor

 

Beliau berkata pembinaan dua stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan barangan angkut akan dijalankan di bawah fasa itu.

 

Ketika ditanya bagaimana MRL, sebagai pemilik projek, akan memastikan kerja-kerja yang diberi kepada subkontraktor Malaysia, agar pembinaan ECRL memberi manfaat kepada rakyat tempatan, beliau berkata, kira-kira 30 peratus daripada kerja-kerja kejuruteraan dan pembinaan akan dijalankan oleh kontraktor tempatan.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan supaya meneruskan ke peringkat seterusnya​​​​​​ sehingga​ membawa kepada  penyerahan tender, katanya.

 

“Keutamaan akan diberikan kepada kontraktor berdaftar di negeri-negeri berkenaan yang disenarai pendek untuk menghantar tender kompetitif,” katanya.

 

Setakat akhir November 2017, 25 kontraktor tempatan telah dilantik, antaranya, HSS Integrated Sdn Bhd, yang memperolehi kontrak bernilai RM83 juta untuk menyediakan perkhidmatan rundingan penyeliaan pakej satu dengan meliputi laluan ECRL 232 kilometer pertama.

 

HSS Integrated sebelum ini menyediakan perkhidmatan rundingan reka bentuk peringkat awal bagi dua fasa pertama laluan itu.

 

Darwis berkata, 30 peratus daripada pakej kerja-kerja awam akan diberikan oleh China Communication Construction Company, meliputi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC), atau kontraktor siap guna, untuk ECRL, kepada kontraktor Malaysia, seiring dengan komitmen kerajaan agar peserta tempatan memanfaatkan projek ECRL.

 

Pakej kerja ini merangkumi pembersihan kawasan, pembinaan pejabat di tapak projek dan kemudahan​​​​​​​ pekerja, kerja-kerja tanah, pembentukan, penyaliran, asas, kerja-kerja penambahbaikan tanah, kerja-kerja jalan raya termasuk laluan dan lampu jalan.

 

Ia juga meliputi kerja-kerja pembinaan, penerowongan terdiri daripada kerja-kerja letupan, penetapan​​​​​​​ laluan, sistem dan isyarat termasuk pembinaan substesen; pemasangan tiang, dermaga dan saluran serta​​​​​​​tanda penunjuk dan pengurusan trafik.

Berita selanjutnya