Aplikasi mudah alih Muslim Pro tinjau kerjasama di Malaysia [Video]

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

 

KUALA LUMPUR, 31 Mei : Muslim Pro, aplikasi gaya hidup Islam, meninjau peluang kerjasama secara menang-menang dengan sektor korporat, institusi dan agensi kerajaan Malaysia yang boleh memanfaatkan kedudukan aplikasi itu di peringkat tempatan dan global yang kukuh.

 

Pengurus Negara Muslim Pro Malaysia Nik Emir Din berkata terdapat peluang yang besar bagi syarikat untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan Ekonomi Digital Islam, yang dibina berdasarkan permintaan yang semakin meningkat bagi gaya hidup Islam.

 

Beliau berkata trend makroekonomi dan demografi menunjukkan sokongan yang kuat dan pertumbuhan yang berterusan di rantau Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia.

 

“Setakat ini, ia cukup menarik, di peringkat dunia kami menghampiri 55 juta muat turun. Secara kasar, Malaysia mencatatkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pasaran kami yang bermakna antara empat dan lima juta pengguna yang memuat turun adalah dari Malaysia.

 

“Di Asia Tenggara, jumlah umat Islam adalah lebih 250 juta dan kira-kira 90 peratus daripada pengguna Internet di Asia Tenggara merupakan pengguna telefon pintar.

 

“Muslim Pro giat mencari rakan kongsi untuk membantu kami memanfaatkan trend mega yang menarik ini,” katanya kepada Bernama selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Muslim Pro dan Malaysian Airlines di bawah Project Amal,

 

MoU itu akan membolehkan kedua-dua pihak bukan hanya memanfaatkan kedudukan jenama global masing-masing tetapi turut membangunkan dan meningkatkan pengalaman penumpang Project Amal melalui aplikasi mudah alih Muslim Pro, yang seterusnya meningkatkan perjalanan haji mereka.

Berita selanjutnya