Pengguna tidak perlu bimbang beli ayam di pasaran – JPV

KOTA KINABALU, 27 Ogos : Pengguna tidak perlu bimbang untuk membeli  ayam yang dijual di pasaran kerana tidak ada  bekalan ayam dalam pasaran berasal dari ladang  ternakan ayam yang dijangkiti selesema burung.

 

Menurut  Penolong Pengarah Seksyen Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah Dr Zul Bahar Abd Rashid, ayam di pasaran juga telah menjalani pemeriksaan ketat di kilang pemprosesan dan hanya produk ayam sihat sahaja dibenarkan berada dalam pasaran.

 

Ayam yang hendak dipasarkan telah menjalani pemeriksaan teliti termasuk  pemeriksaan  antemortem secara fizikal bagi memastikan tahap kesihatan ayam itu baik untuk penghasilan daging yang selamat kepada pengguna, katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Beliau berkata sebuah ladang ternakan ayam yang dikesan positif dengan selesema burung pada 3 Ogos lalu sudah dikawal sepenuhnya manakala aktiviti pemantauan diteruskan bagi mengelakkan virus selesema burung daripada merebak ke kawasan lain.

 

Katanya ayam, termasuk telur ayam di ladang ternakan ayam berkenaan juga telah dilupuskan semuanya sebagai langkah pencegahan itu.

 

“Oleh itu, tiada lagi daging atau telur yang datang dari ladang yang dijangkiti. Jadi pengguna tidak perlu bimbang tentang sumber daging atau telur ayam di pasaran”, katanya.

 

Sementara itu, JPV Sabah meminta orang ramai agar segera melaporkan kepada pejabat agensi itu yang terdekat jika terdapat kejadian ayam mati di kawasan masing-masing.

 

Berita selanjutnya