Pemandu lori lawan arus direman empat hari

KUALA LUMPUR, 8 Okt : Pemandu lori yang memandu secara berbahaya dan melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya di Hulu Selangor, semalam direman selama empat hari.

 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai berkata pemandu lori pembekal ubat yang berusia 37 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Khamis.

 

“Lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya dalam kenyataan.

 

Semalam, lelaki berkenaan ditahan selepas memandu melawan arus sejauh tiga kilometer dari plaza tol berkenaan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 48 tahun.

 

Siasatan awal mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai lesen memandu, satu rekod jenayah lampau, 64 saman yang masih belum selesai dan 36 waran tangkap serta 15 kes yang memerlukan kehadiran di mahkamah.

 

Video berdurasi 25 saat yang memaparkan kejadian berkenaan mula tular di media sosial semalam.

 

Berita selanjutnya