Prospek lumayan tanam buluh

Oleh Sakini Mohd Said

 

SUNGAI SIPUT, 22 Feb : “Buluh yang saya pegang ini adalah buluh betong iaitu buluh terkuat dan terbaik di Asia sehingga kalangan mereka yang terlibat dalam industri ini menggelarkannya Buluh Raja Asia.

 

“Berbanding buluh biasa yang ketebalannya sekitar 1 sentimer, buluh betong mempunyai ketebalan kira-kira 2.5 sentimer.  Selain Malaysia, buluh betong banyak terdapat di Indonesia dan Filipina, “ demikian kata Ir  Ahmad Mazlan Othman, 61, kepada Bernama, sambil menambah batang buluh betong yang di tangannya itu adalah hasil tanamannya sendiri.

 

Berpakaian kemeja-T berwarna hijau serta bertopi gelap, matanya kemudian merenung tajam ke arah serumpun buluh betong yang tumbuh subur kira-kira 12 meter dari perkarangan rumahnya yang terletak di Kampung Talang Tengah, Sungai Siput ini.

 

Ahmad Mazlan yang juga pengasas Bamboo Jungle Adventures (BJA) ditemui semasa penulis mengikuti lawatan Industri Perkayuan anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) baru-baru.

 

BJA aktif mempromosi serta mengkomersialkan produk inovasi berasaskan buluh di negara ini sejak 2013.

 

 

NILAI TINGGI BULUH

 

Ahmad Mazlan mula menaruh minat yang mendalam terhadap buluh bermula pada tahun 2010 apabila kerjanya sebagai Jurutera Perunding Awam dan Struktur di syarikat miliknya banyak memerlukannya berkunjung ke luar negara sekali gus membuka matanya terhadap potensi buluh.

 

Bermula saat itu, beliau mula mengkaji sumber alam berkenaan melalui pembacaan serta menghadiri seminar, kursus serta berjumpa dengan pengusaha buluh di Vietnam, Jepun, China, Korea serta banyak lagi negara.

 

“Setakat ini saya ada tanam 35 spesies buluh pelbagai jenis di belakang rumah sama ada spesies tempatan mahupun luar negara. Di samping betong ada buluh Amerika Selatan yang terkuat di dunia (Guadua Angustifolia), buluh hitam (Gigantochloa Atroviolacea) dan buluh serba guna (Bambusa Beecheyana). Ramai yang persoalkan kenapa saya tanam buluh-buluh ini.

 

“Mereka menganggap ia tidak ada nilai kerana melihat buluh hanya produk kampung seperti bubu ikan, alat kurungan ayam. Sedangkan, harga sebatang buluh yang saya pegang ini sahaja boleh bernilai RM200, jadi bayangkan serumpun buluh berapa banyak boleh dapat,” katanya.

 

Beliau yang juga merupakan pengkaji buluh berkata terdapat sebanyak 1,500 jenis buluh di seluruh dunia dan di Malaysia sahaja mempunyai lebih daripada 70 spesies.

 

Menurut Ahmad Mazlan, meskipun potensi ekonomi buluh sangat besar, masih ramai tidak menyedarinya termasuk di Malaysia.

 

Ini berbanding di negara luar seperti Indonesia, China mahupun Filipina di mana sumber alam ini diusahakan dengan gigih sehingga menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi, ada yang mencecah bukan puluhan atau ratusan tetapi jutaan ringgit!

 

 

BANYAK KEGUNAAN

 

Buluh yang merupakan suku bagi tumbuhan saka berbunga daripada keluarga Poaceae biasanya tumbuh secara meliar di tebing sungai, lereng bukit dan kawasan belukar.

 

Ia lazim dikaitkan dengan penghasilan produk tradisional seperti bakul, rakit, lemang, meriam mahupun pondok rumah orang Asli!

 

Malah, rasanya tidak salah untuk menyatakan majoriti daripada kita masih sinonim dengan persepsi sedemikian rupa dan ini dapat dilihat kebanyakan ahli rombongan agak terkejut apabila diberitahu Ahmad Mazlan mengenai hasilan inovasi sumber alam ini.

 

Menurut bapa kepada empat orang anak ini, suntikan kreativiti dan pembangunan teknologi penggunaan buluh di negara seperti China, Indonesia dan Korea telah berjaya menghasilkan produk komoditi bernilai tinggi untuk pembinaan seperti rumah dan juga perabot.

 

Misalnya, sebuah rumah mewah yang diperbuat sepenuhnya daripada buluh dinamakan ‘Sharma Springs’ di Bali bernilai RM8 juta serta sumber alam ini turut digunakan dalam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Madrid, Sepanyol yang berjaya mengagumkan ramai pelancong.

 

“Buluh mempunyai 1,001 jenis kegunaan dan keseluruhan tumbuhan tersebut bermanfaat kepada manusia. Sayangnya, industri buluh kita masih di takuk lama sedangkan negara kita kaya dengan khazanah ini.

 

“Saya sebelum ini juga mempunyai persepsi begitu (ia hanya produk kampung) namun berubah apabila melihat masyarakat barat lebih menghargai buluh sedangkan mereka tidak mempunyai sumber alam itu,” katanya.

 

 

BAMBOO JUNGLE ADVENTURES

 

Kecintaannya kepada sumber alam itu turut membuatkan Ahmad Mazlan nekad menubuhkan Bamboo Jungle Adventures (BJA) pada 2013 bersama anaknya, Anum Nazahah Ahmad Mazlan, 27, graduan bidang fizik elektronik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

 

Mereka berdua membawa misi sangat besar untuk mengubah stigma masyarakat terhadap khazanah alam berkenaan serta komited mempromosi dan mengkomersialkan produk inovasi berasaskan buluh di negara ini.

 

Bermula dengan perkhidmatan inap desa dan penggembaraan hutan, BJA berjaya mengembangkan potensi sumber alam itu melalui penghasilan produk seperti perabot, gazebo, alat muzik (gitar), basikal, menjual anak benih buluh serta menawarkan perkhidmatan pembinaan struktur bangunan yang lebih berkonsepkan kontemporari dan bernilai tinggi.

 

Antara bangunan buluh yang dihasilkannya menjadi sebutan ramai adalah Masjid Buluh di Kuala Kangsar yang mampu memuatkan seeramai 500 jemaah dan menara jam buluh di Grik, Perak. Pembinaan masjid ini yang menggunakan beberapa jenis buluh termasuk betong dan buluh duri siap pada akhir tahun 2016.

 

“Anum dengan saya bergiat sepenuh masa dalam bidang ini. Pengalaman hampir 27 tahun sebagai jurutera adalah bonus kepada saya untuk memajukan pembinaan struktur bangunan berasaskan buluh.

 

“Pekerja kami dalam kalangan masyarakat sekitar iaitu dalam lima orang di samping turut menerima mana-mana pemuda dan wanita di kampung ini yang ingin belajar kemahiran buluh.

 

“Konsep BJA adalah ‘social enterprise’ iaitu membantu penduduk sekitar menjana pendapatan kerana kebanyakan mereka adalah penoreh getah dan petani. Di sini kami mempunyai bengkel yang lengkap untuk penghasilan produk buluh,” katanya yang turut menawarkan latihan ‘Pandai Buluh’ kepada orang luar.

 

 

PERMINTAAN TINGGI

 

Paling menarik, apabila masyarakat tempatan mula menyedari potensi besar dan pendapatan lumayan bagi mereka yang menerokai industri ini.

 

“Selepas hampir tujuh tahun BJA beroperasi, produk buluh kami semakin mendapat sambutan menggalakkan.

 

“Sejak kebelakangan ini, kami banyak mendapat tempahan untuk projek pembinaan. Bagaimanapun, masalah utama dihadapi adalah mendapatkan buluh berkualiti tinggi dan kekurangan tenaga kerja mahir.

 

“Misalnya, sekarang ini kami tengah menyiapkan beberapa bangunan baru di Datai, Langkawi, iaitu sebuah hotel ternama di pulau itu. Kami memerlukan bekalan buluh berkualiti tinggi yang banyak, jadi kami terpaksa import dari Indonesia,” katanya.

 

Buat masa ini, Malaysia masih belum lagi mempunyai ladang buluh yang fokus kepada penghasilan produk bernilai tinggi dan biasanya bekalan sumber itu diperolehi daripada hutan.

 

Bagaimanapun, sumber yang ada agak terhad kerana hanya tujuh peratus daripada hutan negara ini adalah tumbuhan buluh selain berdepan kesukaran serta kos yang tinggi untuk mengeluarkan buluh dari hutan. Sudah tentunya wajar sekali ladang buluh dibangunkan secara besar-besaran.

 

“Kos agak mahal apabila import buluh. Misalnya, satu kontena buluh bernilai RM10,000 manakala kos penghantaran adalah RM18,000 selain masa penghantaran pun lama.

 

“Kalau ada ladang buluh masalah ini dapat diatasi tetapi kebanyakan ladang buluh yang ada di negara ini hanya tertumpu pada produk rebung sebagai bahan makanan,” katanya.

 

Malaysia mempunyai potensi cukup besar memajukan industri buluh kerana iklim dan tanah negara ini sesuai untuk tanaman berkenaan. Justeru, adalah satu kerugian sekiranya ia tidak dimanfaatkan kerana buluh boleh dijadikan antara satu sumber komoditi yang menguntungkan negara.

 

Ini kerana, kos penanaman serta penjagaannya rendah dan tidak rumit selain menjanjikan pulangan lumayan kepada sesiapa sahaja yang terlibat.

Berita selanjutnya