Lebih 400,000 penjawat awam alami tekanan emosi – CUEPACS

KUALA LUMPUR,  19 Mac : Lebih 400,000 penjawat awam yang merangkumi 25 hingga 30 peratus daripada warga sektor itu didapati mengalami tekanan emosi dengan sebahagiannya mempunyai kad rawatan psikiatri, demikian dedah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

 

Presidennya Datuk Azih Muda berkata mereka merangkumi semua peringkat perjawatan di 700 jabatan dalam semua sektor.

 

“Menerusi data indeks kesejahteraan pekerja sehingga 2019, jumlah penjawat awam yang mengalami tekanan emosi tidak meningkat secara mendadak, namun trend itu tidak juga menunjukkan pengurangan sejak beberapa tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Mentakafulkan Penjawat Awam melalui MyCuepecsCare, di sini hari ini.

 

Katanya antara faktor yang dilihat menyumbang ke arah tekanan emosi penjawat awam ialah kos sara hidup dan tekanan di tempat kerja.

 

Mengenai MyCuepacsCare, Azih berkata inisiatif itu menyediakan kemudahan kad perubatan kepada penjawat awam dengan kadar sumbangan serendah RM32 bagi pelan individu dan RM85 untuk pelan keluarga tanpa had bilangan anak berusia bawah 21 tahun.

 

“Kita mahu penjawat awam mendapat perkhidmatan perubatan terbaik dan pantas, jadi pelan ini adalah alternatif untuk mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta.

 

“Perkhidmatan ini memberi perlindungan bagi semua penyakit seperti demam denggi, jantung, kanser, influenza, keracunan makanan malah bisul,” katanya.

 

Menurutnya MyCuepacsCare diterima oleh lebih 70 hospital pakar swasta sebagai hospital panel.

 

Program akan dilancarkan Isnin ini dengan sasaran golongan B40 dan penjawat awam boleh mendapatkan borang di 695 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara.

Berita selanjutnya