Sophia, robot humanoid tampil di Beyond Paradigm Summit 2019 Serba Dinamik

KUALA LUMPUR, 5 Julai : Serba Dinamik IT, anak syarikat Serba Dinamik Group Bhd (Serba Dinamik), akan menampilkan Sophia, sebuah robot humanoid, di Beyond Paradigm Summit 2019.

 

Serba Dinamik adalah penganjur utama sidang kemuncak itu yang akan diadakan di Kuala Lumpur dari 17-18 Julai dan 20-21Julai di Kuching.

 

Dibangunkan oleh Hanson Robotics yang berpangkalan di Hong Kong, Sophia membuat penampilan awam pertamanya pada 2016 dan telah pergi ke lebih 25 negara untuk muncul di acara-acara berprestij dan bertemu dengan pemimpin terkemuka.

 

Menurut kenyataan, Sophia akan menunjukkan kemahirannya melukis Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan berdebat dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

 

Beyond Paradigm Summit, akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), akan mempamerkan teknologi maju melibatkan idea teras pendigitalan dan pertukaran data mengenai Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), dan akan dirasmikan oleh Dr Mahathir.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Group Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah berkata industri secara keseluruhan perlu dilengkapi dengan penyelesaian digital yang berbeza dengan mengubah cara mereka beroperasi dalam ekonomi global yang tidak menentu disebabkan kemajuan teknologi yang dinamik, pertikaian perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik.

 

Sidang kemuncak itu akan memperkenalkan peserta kepada teknologi maju meliputi industri seperti tenaga, penjagaan kesihatan, pembuatan, kewangan, pendidikan, telekomunikasi dan pengangkutan.

 

Ia akan menunjukkan bagaimana teknologi ini dapat memacu daya saing melalui proses dengan nilai tambah seperti pendigitalan, pembuatan maju dan penggunaan sumber yang cekap.

 

“Kami amat serius dalam memupuk keupayaan ini, susulan kerjasama kami dengan Microsoft Corp yang dimeterai pada September lepas. Kerjasama dengan Microsoft melibatkan menyepadukan keupayaan digital dalam operasi dan segmen perniagaan pengurusan kami yang dapat menjana penjimatan kos yang ketara.

 

“Dalam perkara ini, menampilkan Sophia, robot pertama dunia yang mempunyai penampilan seperti manusia dan tingkah laku yang didayakan oleh kecerdasan buatan, boleh melakukan perbualan mudah dan direka untuk menjadi lebih pintar dari semasa ke semasa, untuk menunjukkan potensi IR 4.0 dan melangkaui dunia,” katanya.

 

Maklumat lanjut, sila layari website di https://www.beyondparadigmsummit.com/

Berita selanjutnya