Festival Sungai Kampar bakal jadi ‘signature’ Perak

GOPENG, 6 Julai : Festival Sungai Kampar berpotensi dijadikan program ‘signature’ dalam usaha mempromosikan sukan lasak di Perak hingga ke peringkat antarabangsa.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, festival itu walaupun julung kali diadakan bukan sahaja di Perak, malah di Malaysia, namun sambutan diterima amat menggalakkan apabila lebih 400 peserta termasuk dari luar negara mengambil bahagian.

 

Katanya acara utama festival tiga hari yang bermula semalam ialah perlumbaan arung jeram (water rafting), perlumbaan kayak dan perlumbaan tiub (tubing race).

 

“Kita lihat pada hari, bukan hanya peserta dari Malaysia malah ada dari luar negara seperti Indonesia, Brunei, Chile, Perancis, Singapura dan Jerman.

 

“Ia boleh dikatakan berjaya dan kita memang akan sentiasa memberikan sokongan kepada mereka supaya program seumpama ini menjadi ‘signature programme’ untuk negeri, Malaysia dan di peringkat antarabangsa secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan gimik perasmian Kampar River Festival di Dataran Jahang, di sini, hari ini.

 

Tan berkata kemudahan asas di Dataran Jahang itu akan dinaik taraf bagi memastikan ia mampu memberi keselesaan kepada pelancong yang datang melakukan pelbagai aktiviti.

 

“Ini kerana di sini bukan hanya aktiviti sukan air semata-mata malah aktiviti perkhemahan dan abseiling turut boleh dilakukan. Jadi, kita perlu menaik taraf beberapa kemudahan bagi menampung keselesaan dan jumlah pelancong yang akan datang,” katanya.

 

Selain Sungai Kampar, beberapa lokasi lain seperti di Ulu Slim, Sungkai dan Kuala Kangsar juga telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi sukan lasak, namun ia masih di peringkat perancangan, katanya.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, penganjuran festival berkenaan boleh dijadikan sebagai platform untuk memperbanyakkan aktiviti atau kejohanan sukan lasak di kawasan tersebut sama ada dalam skala kecil atau besar.

 

Katanya, ia juga dapat memberi manfaat dan peluang kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan selain memastikan kawasan itu dikenali sebagai antara lokasi utama sukan lasak di Malaysia.

Berita selanjutnya