Skuad ragbi wanita sedia gegar Filipina

PETALING JAYA, 14 Julai : Ketua jurulatih skuad ragbi wanita tujuh sepasukan (7’s) negara, Nik Safuan Ismade Nik Man percaya ‘senjata’ baharu dimiliki skuad kendaliannya, mampu mencipta kejutan pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

 

Bekas pemain ragbi kebangsaan itu berkata pasukannya terdiri daripada gabungan pemain baharu dan lama, kini mempunyai lebih satu taktikal permainan, yang akan memberi beberapa pilihan ketika berhadapan pasukan lawan.

 

Beliau mengakui kemahiran individu yang tinggi dimiliki barisan pemainnya, turut memberi kelebihan kepada pasukan kali ini dalam melaksanakan misi mengatasi pencapaian pingat gangsa, pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

 

“Kalau ikutkan perbandingan pasukan 2017 dengan sekarang, pasukan kali ini merupakan gabungan pemain yang cukup baik, kerana melibatkan pemain baharu dan lama.

 

“Pasukan sekarang juga mempunyai kelebihan dari segi kemahiran individu yang tinggi, di mana kita boleh bermain ‘kick and chase’ dan mengubah rentak permainan mengikut cara pasukan lawan itu bermain. Saya percaya kita di landasan tepat untuk mencapai sasaran pingat perak di Filipina,” katanya ditemui di Kejohanan MBPJ-KRS Ladies Seven 2019 yang berlangsung di Padang Astaka di sini, hari ini.

 

Mengulas lanjut, Nik Safuan berkata pasukannya akan berlepas ke Hong Kong akhir bulan ini, sebagai persiapan menghadapi temasya dwi tahunan itu, sebelum bakal mendapat sentuhan bekas jurulatih skuad 7’s lelaki kebangsaan yang juga legenda Fiji, Tomasi Camaneisenirosi.

 

“Kita akan mengadakan latihan bersama skuad pembangunan Hong Kong selain beberapa siri perlawanan ujian dengan beberapa kelab di sana.

 

“Selepas itu, pada pertengahan Ogos kita dijangka mendapatkan khidmat legenda Fiji untuk membantu pasukan dari aspek corak bertahan kerana itu kepakaran beliau, namun perkara itu masih belum diputuskan kerana masih menunggu pengesahan daripada beliau,” katanya.

 

Terdahulu, skuad ragbi 7’s wanita negara yang lebih dikenali sebagai Panthera Ladies menamatkan kejohanan jemputan itu di tempat kedua di belakang pasukan remaja Hong Kong, selepas menamatkan aksi liga dua pusingan melibatkan empat pasukan termasuk Pilihan Singapura dan DAC Lao Nagas.

Berita selanjutnya