Peserta Konvensyen Nunji 2019 cari erti ‘Rahmatan Lil Alamin’

MELAKA, 20 Julai:   Orang ramai yang menyertai Konvensyen Nunji 2019 (Nadwah Ulama Nahdhan Jadidan) berharap dapat memahami lebih mendalam konsep dan gagasan ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang dibincangkan sepanjang acara sehari itu.

 

Pesara polis Tik Omar Mohd Aton, 68, berkata beliau menyertai konvensyen itu bagi mendalami maksud sebenar yang tersirat di sebalik konsep berkenaan dan apa yang kerajaan baharu lakukan mengenainya selepas diberi mandat untuk mentadbir negara.

 

“Apa yang saya faham tentang Rahmatan Lil Alamin ialah semua rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama perlu bersatu padu bagi meneruskan kedamaian dan kesatuan yang dikecapi pada hari ini.

 

“Bagi saya Islam bukan hanya agama yang memberi rahmat kepada orang Melayu atau orang Islam sahaja sebaliknya ianya bersifat majmuk dan perlu dikongsi oleh semua tidak kira siapapun mereka,” kata Tik Omar yang berasal dari Pontian, Johor.

 

Beliau berharap melalui konvensyen itu peserta dapat memahami dengan jelas konsep rahmatan lil alamin untuk mengangkat Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan penghayatan kasih sayang.

 

Berkongsi pendapat sama, Rokiah Kassim, 59, dari Jitra, Kedah menarik perhatian bahawa Islam adalah agama yang bukan hanya membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara malah meliputi ruang lebih luas iaitu rahmat ke seluruh alam.

 

“Kenapa kita perlu bezakan antara Muslim atau bukan Muslim sedangkan Allah SWT menjadikan manusia ini berbagai rupa, warna kulit, bangsa dan agama, pasti ada tujuan kenapa mereka dijadikan sedemikian,” katanya.

 

Suri rumah itu berkata konsep rahmatan lil alamin seperti yang didukung kerajaan adalah tepat bagi meneruskan keharmonian, perpaduan dan kesatuan dalam masyarakat agar terus kekal diwarisi oleh generasi akan datang.

 

“Fikiran umat Islam hari ini perlu lebih terbuka agar ia (konsep itu)  dapat terus berkembang dan diterima ramai,” katanya.

 

Konvensyen sehari dengan tema ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh itu dianjurkan bagi membincangkan konsep berkenaan selain Maqasid Syariah.

 

Berita selanjutnya