Luno sedia platform selamat untuk pelaburan mata wang kripto

Oleh Siti Noor Afera Abu

 

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Luno Malaysia Sdn Bhd, operator pertukaran mata wang kripto di Malaysia, merancang menyediakan platform yang selamat untuk pengguna tempatan bagi melindungi aset mata wang kripto dan ringgit mereka.

 

Pengurus Besar Luno Southeast Asia, David Low berkata syarikat itu perlu memastikan dana pelanggan disimpan dalam akaun amanah, yang membolehkan pemantauan pihak ketiga bagi menjamin urus niaga.

 

“Apa yang kami lakukan, (contohnya) untuk ringgit, kami memastikan dana pelanggan disimpan dalam akaun amanah, bukan akaun peribadi Luno, dan sentiasa memastikan pihak ketiga memantau dana bagi mengelakkan kami menyalahgunakannya secara haram,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Low berkata pengawalseliaan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memastikan ketelusan dan perlindungan kepada pengguna dan memastikan semua perniagaan mata wang kripto mempunyai standard yang mencukupi untuk melindungi pelabur dan dana mereka.

 

“Berdasarkan peraturan yang ada, saya fikir rakyat Malaysia boleh mula menantikan penggunaan bursa mata wang kripto sah untuk mengakses dan membeli bitcoin dan ethereum,” katanya.

 

SC mengumumkan bahawa peraturan proaktif mata wang kripto dan teknologi lejar digital terbuka akan membawa inovasi dalam kedua-dua industri lama dan baharu.

 

Luno Malaysia adalah antara tiga bursa aset digital yang telah menerima kelulusan bersyarat daripada SC untuk berdagang dalam mata wang kripto.

 

Dua lagi ialah Sinergy Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd yang berpejanat di Singapura.

 

Ketiga-tiga syarikat itu diberikan sehingga sembilan bulan untuk memenuhi sepenuhnya semua keperluan pengawalseliaan sebelum menerima lesen penuh.

 

Low berkata memandangkan Luno belum menerima kelulusan 100 peratus daripada SC, pelabur perlu bersabar sebelum memulakan pelaburan dalam mata wang krito.

 

“SC memperkenal rangka kerja pengawalseliaan untuk memastikan pihak yang mahu mewujudkan pernagaan mata wang kripto mereka sendiri perlu memperoleh kelulusan SC.

 

“Yang menariknya ialah apabila memperoleh kelulusan SC, anda sebenarnya boleh memasuki pasaran, (contohnya) membuat mata wang kripto anda sendiri untuk mengumpulkan dana daripada orang ramai di mana mereka perlu melabur dalam perniagaan anda,” katanya.

 

Pada masa ini, Luno membolehkan perdagangan kedua-dua mata wang kripto iaitu bitcoin dan ethereum pada platformnya.

Berita selanjutnya