Samsung Malaysia lancarkan Galaxy Tab S6

KUALA LUMPUR, 2 Ogos : Samsung Malaysia Electronics telah melancarkan Galaxy Tab S6, tablet terbaharunya yang mampu meningkatkan kreativiti dan produktiviti.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat serta Perhubungan Mudah Alih Samsung Electronics Co Ltd, DJ Koh memberitahu Galaxy Tab S6 membolehkan pengguna untuk memanfaatkan keupayaan kreativiti masing-masing, selain menyampaikan ciri-ciri produktiviti yang berkualiti serta berteknologi maju yang sentiasa ditampilkan melalui tablet Samsung.

 

“Inspirasi hari ini datang secara tiba-tiba dan pengguna kreatif serta profesional memerlukan peranti yang mampu beraksi dengan imaginasi yang tidak pernah terhad serta mampu menjadi teman bagi gaya hidup yang sentiasa sibuk dan aktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi meningkatkan kreativiti dan produktiviti, Galaxy Tab S6 mempunyai Samsung S Pen yang kini dilengkapi dengan fungsi alat kawalan jauh serta keupayaan pengecasan tanpa wayar.

 

“‘Versi baharu Samsung DeX yang sudah dipertingkatkan turut disertakan dalam Galaxy Tab S6, membolehkan anda untuk mendapat pengalaman seperti menggunakan Komputer Peribadi, ini memudahkan anda membuat pelbagai tugasan dan mengoptimumkan pengalaman tontonan anda,” kata kenyataan itu.

 

Samsung turut melengkapkan peranti tersebut dengan teknologi terbaharu seperti kamera berkembar dengan Ultra Wide pertama syarikat itu yang akan membolehkan pengguna mengambil imej lanskap serta pemandangan sama seperti pandangan pengguna dalam medan 123 darjah, seluas seperti pandangan mata manusia.

 

“Buat pertama kalinya, Samsung telah memasang skrin pengimbas cap jari yang dilindungi oleh platform keselamatan bergred ketenteraan atau Samsung Knox.

 

“Pengguna boleh menghidupkan Galaxy Tab S6 mereka melalui sentuhan sebanyak dua kali pada skrin mereka, ini membolehkan mereka untuk log masuk dan memulakan aktiviti harian dengan lebih pantas,” katanya.

 

Galaxy Tab S6 juga menampilkan peranan hiburan serta permainan berkualiti melalui gabungan grafik, bunyi dan perkakasan dan perisian yang pintar, ini diperhebatkan lagi dengan perkongsian bersama platform permainan video yang terkemuka seperti Unity dan Unreal Engine.

 

Tablet terbaharu Samsung ditampilkan dengan warna-warna Mountain Gray, Cloud Blue serta Rose Blush.

 

Berita selanjutnya