Aliran keluar dana asing RM293.5 juta pada minggu ini

KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Dana asing telah bertindak menjual sejumlah RM293.5 juta bersih dalam tempoh 29 Julai-1 Ogos lepas iaitu kira-kira enam kali lebih tinggi daripada RM53.4 juta yang dilepaskan sepanjang minggu sebelumnya.

 

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) Adam Mohamed Rahim berkata sebahagian besar daripada aliran keluar itu adalah disebabkan oleh hari dagangan terakhir Julai yang jatuh pada Rabu dan membabitkan jualan bernilai RM334.3 juta bersih menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat atau Fed serta berlaku di tengah-tengah rundingan dagangan AS-China yang kurang agresif.

 

“Bagaimanapun, bulan Ogos terbukti dimulakan dengan sentimen lebih positif apabila pelabur asing bertindak membuat belian sehingga RM40.6 juta pada Khamis, terutamanya didorong oleh perkembangan membabitkan Press Metal Aluminium Holdings Bhd yang memeterai perjanjian pembelian tenaga dengan Syarikat SESCO Bhd, unit Sarawak Energy Bhd,” katanya kepada Bernama.

 

Press Metal berjaya mendapatkan tenaga elektrik sehingga 500 megawatt (MW) membabitkan cadangan kilang peleburan aluminium ketiganya di Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak.

 

“Bagi asas tahunan, aliran keluar bersih asing dari Malaysia kekal melebihi RM4 bilion berbanding negara serantau lain yang menyaksikan aliran masuk bersih asing,” kata Adam.

 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew pula menjangkakan jualan asing akan berterusan minggu depan berikutan penurunan yang dicatatkan di Bursa Malaysia pada Jumaat dengan FBM KLCI susut 12.31 mata untuk ditutup pada paras 1,626.76.

 

“Berdasarkan skala penyusutan pada Jumaat, adalah dijangkakan aktiviti jualan akan berterusan untuk  sekurang-kurangnya sehari dua lagi pada minggu depan,” katanya.

 

Pada Rabu, pihak Fed bertindak mengurangkan kadar faedah utama sebanyak 0.25 peratus kepada lingkungan 2.0 peratus dan 2.25 peratus dalam pengurangan pertama bagi kos pinjaman sejak krisis kewangan yang berlaku sedekad lepas.

 

Bagaimanapun, para pelabur dikatakan kecewa terhadap tindakan pengurangan kadar faedah yang disifatkan sebagai kurang jelas selepas pihak Fed membayangkan bahawa langkah itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

 

“Mereka menyatakan bahawa ia tidak membabitkan beberapa siri pengurangan kadar faedah yang berpanjangan dan paling maksimumkan hanya tiga kali,” katanya.

 

Beliau berkata pasaran ekuiti juga memberi reaksi negatif terhadap kenyataan Presiden AS Donald Trump yang mahu mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas baki import China bernilai AS$300 bilion pada bulan depan.

 

Kenyataan itu mendapat reaksi pantas China yang memberi amaran untuk mengenakan tindak balas dalam cara yang hanya menjejaskan lagi kesan terhadap kedua-dua negara itu.

 

Dalam pada itu, firma OCBC Treasury Research mengekalkan saranan membabitkan pengurangan 25 mata asas lagi dalam kadar faedah AS pada September dan berkemungkinan satu lagi pengurangan dengan jumlah sama pada Disember depan.

 

Ini berlaku ketika perkembangan yang menyaksikan rundingan dagangan AS-China menemui jalan buntu dan berakhir tanpa keputusan konkrit manakala Trump terus memberi tekanan kepada Pengerusi Fed Jerome Powell untuk meneruskan kelonggaran dasar monetari menjelang pemilihan 2020 serta tanda-tanda penyusutan momentum ekonomi global yang berlanjutan.

 

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd pula melihat prospek pemulihan susulan jualan ketara pada awal minggu ini walaupun ia akan dijejaskan oleh kelemahan berterusan Wall Street dalam masa terdekat ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pasaran global juga dikejutkan lagi dengan langkah AS untuk mengenakan tarif baru ke atas barangan China yang pasti memberi impak negatif terhadap pasaran.

 

“Ini akan hanya memburukkan lagi sentimen pada akhir minggu walaupun kami berpendapat bahawa kecenderungan penurunan di FBM KLCI mungkin terhad kerana mengalami terlebih jual dan boleh menampung kepada potensi kerugian,” katanya.

 

Selain itu, penganalisis yang juga Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS baru-baru ini menunjukkan bahawa pihak Fed kekal optimis terhadap ekonomi negara itu dengan mengambil kira pasaran buruh dan perbelanjaan isi rumah yang disifatkan sebagai kukuh.

 

“Oleh itu, pengurangan 25 mata asas itu dilihat sebagai memberi jaminan untuk melindungi kesan risiko penyusutan. Ini mungkin telah menjejaskan pasaran yang sebaliknya mengukuhkan dolar AS dan melemahkan indeks ekuiti,” katanya.

 

Mohd Afzanizam berkata pengumuman data gaji bukan ladang pada Jumaat juga akan menjadi tumpuan bagi mengukur kekuatan pasaran buruh AS dan bagaimana ini dapat mempengaruhi tindakan dasar monetari di masa depan.

 

“Namun, kenyataan Presiden Trump untuk mengenakan tarif 10 peratus lagi terhadap baki import China bernilai AS$300 bilion itu telah menjadikan tindakan mengelak risiko itu sebagai sesuatu yang lazim.

 

“Akibatnya, sekali lagi permintaan (pelabur) akan tertumpu kepada mata wang lebih selamat serta memilih aset berkualiti dan hanya mengundang risiko penurunan ekuiti pada minggu depan,” katanya

 

Berita selanjutnya