PNB mahu perkukuh kedudukan digital ASNB

KUALA LUMPUR, Aug 4: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyasarkan untuk bekerjasama dengan kesemua 10 ejen perbankannya bagi menempatkan platform Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) di segmen perbankan dalam talian masing-masing menjelang akhir tahun depan.

 

Ketua Pegawai Teknologinya, Muzaffar Othman berkata PNB kini dalam peringkat untuk memuktamadkan usaha itu dengan satu lagi institusi kewangan tempatan yang membabitkan kemudahan pelaburan ASNB di laman sesawangnya sebelum mengumumkan perkara itu kepada orang ramai pada akhir tahun ini.

 

“Kami berharap menjelang awal tahun depan, platform ini dapat beroperasi dalam (platform) 3-4 bank lagi bagi memudahkan pelaburan kewangan semua pemegang unit semasa dan akan datang (ASNB),” katanya kepada Bernama.

 

Sejajar usahanya untuk berada di barisan hadapan segmen digital, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu baru-baru ini melancarkan aplikasi mudah alihnya, MyASNB yang membolehkan pelabur unit amanah itu mempunyai akses langsung dengan akaun masing-masing selain membuat pelaburan terus dari bank mereka menerusi FPX.

 

“Platform dalam talian ini akan membolehkan kami memantau pelaburan dalam masa sebenar. Ini merupakan satu langkah ke hadapan berbanding hanya dapat memantaunya secara manual di bank,” katanya.

 

Menurut Muzaffar, sejak memulakan usaha pendigitalan pada 2016, PNB telah mencatat peningkatan sebanyak 200 peratus dari segi transaksi tahun ke tahun.

 

“Ini merupakan peningkatan besar untuk kami kerana ia memudahkan lagi pelaburan para pemegang unit kami,” katanya.

 

Malah, menerusi usaha digital tersebut, PNB berhasrat menarik kalangan pelabur muda dan mereka yang kurang pengetahuan mengenai dana ASNB.

 

“Pada masa ini, tahap penyertaan kalangan rakyat tempatan untuk dana ASNB adalah hampir 35 peratus, namun kami melihat potensi bagi pertumbuhan lanjut dengan adanya inisiatif digital ini.

 

“Oleh itu, kami akan meningkatkan penglibatan dalam talian bagi memacu kesedaran mengenai dana unit amanah ASNB serta mempertingkat pemasaran digital,” katanya.

 

Pada masa ini, PNB mempunyai sebanyak 11 juta pemegang unit unik dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah RM301 bilion manakala kira-kira RM245 bilion dilaburkan oleh pemegang unit.

 

“Inisiatif-inisiatif yang kami laksanakan juga adalah seiringan dengan wawasan kerajaan untuk membentuk kemakmuran bersama selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pelaburan bagi masa depan,” katanya.

 

Berita selanjutnya