Bas Hino Poncho mesra OKU

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

 

KUALA LUMPUR, 9 Ogos : Pernahkah anda terserempak atau terfikirkan keadaan orang kurang upaya (OKU) terkial-kial menggunakan topang atau kerusi roda ketika orang ramai berasak-asak menaiki kenderaan awam, umpamanya bas?

 

Masalah keperluan golongan OKU di tempat awam atau ketika menggunakan kenderaan awam perlu ditangani dan hendaklah ada kaedah penyelesaian bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan harian.

 

Hino Poncho yang direka dengan keperluan khas mungkin antara jawapan kepada permasalahan pengangkutan awam untuk golongan OKU di negara ini.

 

Bas keluaran Hino Motors Limited itu adalah antara ratusan bas, trak dan lori yang dipamerkan di Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE 2019) yang berlangsung di Seri Kembangan di sini, baru-baru ini.

 

Ekspo dwitahunan anjuran Asian Trucker Media Sdn Bhd (Asian Trucker) dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar itu mengetengahkan pelbagai jenama dan jenis bas, trak serta lori terbaharu dengan spesifikasi terkini dari dalam dan luar negara. Asian Trucker adalah penyedia saluran komunikasi bagi sektor pengangkutan dan kenderaan komersial.

 

Lebih 70 jenama terkemuka tempatan dan antarabangsa menyertai MCVE – pameran kenderaan komersial terbesar Asia Tenggara- yang berlangsung selama tiga hari dan mendapat kunjungan kira-kira 10 ribu pelawat itu.

 

 

CIRI-CIRI MENARIK

 

 

Menurut Pengurus Kanan Hino Motors Limited, Andrew Lee yang ditemui di ekspo itu, Hino Poncho mempunyai banyak ciri istimewa yang mampu memberikan kelebihan kepada golongan OKU.

 

“Apabila mula beroperasi, bas ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk kegunaan golongan OKU. Bas ini dilengkapi ‘ultra low flow system’ iaitu tangganya rendah hampir separas lantai  selain mempunyai ‘slide ramp’ atau landas angkat yang boleh ditarik apabila diperlukan.

 

“Hino Poncho menggunakan ‘kneeling system’ iaitu kemudahan butang khas bagi merendahkan bahagian sebelah kiri bas berdekatan pintu masuk supaya penumpang OKU boleh menolak masuk kerusi dengan mudah,” tambah beliau.

 

Menurut beliau, bas seumpama itu sudah digunakan secara meluas di Jepun dan syarikat Hino Motors Limited melihat terdapat keperluan untuk membawa bas itu ke dalam pasaran negara ini.

 

Hino Motors Limited adalah anak syarikat pembuat kereta Jepun, Toyota Group yang beroperasi di negara ini sejak 1977, dan mempunyai rakan kongsi Malaysia iaitu MBM Resources Berhad.

 

Setakat ini, lebih 50 ribu unit trak dan bas syarikat itu dijual tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat dari semasa ke semasa apabila bas Hino Poncho dijual tidak lama lagi.

 

 

TAMBAH BAIK SEPSIFIKASI

 

 

Menurut Lee kebanyakan bas persiaran di negara ini tidak mempunyai ciri kemudahan yang lengkap bagi menyantuni golongan OKU, dan Hino mengambil inisiatif dengan menjalankan kajian terperinci bagi menangani masalah ini.

 

“Selain adanya ‘ultra low flow system’ dan fungsi ‘kneeling system’, Hino Poncho dikuasakan dengan enjin J05D yang menggunakan minyak disel Euro 5, yang menghasilkan asap ekzos yang lebih bersih dan mesra alam.

 

“Bas ini juga menggunakan sistem ‘small turning radius’ kerana rangkanya yang kompak, jadi sesuai untuk digunakan bukan hanya di bandar malah di lorong sempit di kampung,” katanya.

 

Mampu memuatkan lebih daripada 30 penumpang dan dua buah kerusi roda pada satu-satu masa, beliau berharap agar pihak berkepentingan dapat berkongsi idea bagi menambah baik ciri sedia ada yang dapat memudahkan golongan OKU.

 

“Setakat ini kita sudah dapat permit khas untuk tempoh setahun daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menjalankan pandu uji dengan beberapa syarikat pengendali bas sebelum dapat menjual kenderaan ini secara rasmi, sekurang-kurangnya pada 2020.

 

“Kita harus puji tindakan proaktif kerajaan mahu menambah jumlah bas yang menggunakan ‘low flow system’ di jalan raya, berikutan permintaannya yang meningkat saban tahun, dan kita di Hino akan terus mengeluarkan produk kenderaan komersial yang mesra pengguna terutamanya untuk golongan OKU,” tambahnya.

 

 

BAS PERSIARAN MESRA OKU

 

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (POKUAM) Suhairi Abdullah berkongsi pandangan mengenai nilai tambah yang perlu difikirkan bagi kemudahan pengangkutan awam golongan OKU.

 

“Saya fikir bas Hino Poncho sudah cukup baik spesifikasinya, namun kita boleh tambah baik dari segi penambahan ruang untuk lebih ramai pengguna kerusi roda sebab sebelum ini bas itu menyediakan ruang untuk dua buah kerusi roda sahaja.

 

“Amatlah diharapkan pengendali bas dapat membantu mengikat kerusi roda ke tempat pengikat di ruang khas di dalam bas bagi mengelakkan kerusi roda itu bergerak sehingga boleh membahayakan penumpang lain,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Keramat di sini baru-baru ini.

 

Beliau berpandangan bahawa kerajaan persekutuan perlu menaja syarikat yang mengendalikan bas di seluruh negara dan memastikan sekurang-kurangnya dua buah bas persiaran mesra OKU ditempatkan di setiap negeri untuk peringkat permulaan.

 

Ini bertujuan menampung keperluan golongan berkenan yang kebanyakannya menggunakan pengangkutan awam setiap hari.

 

“Setakat data yang saya tahu, ada kira-kira 50 ribu OKU di seluruh negara. Bayangkanlah bagaimana mereka ingin bergerak kemana-mana contohnya ingin pulang ke kampung halaman sedangkan sistem pengangkutan yang ada kurang mesra pengguna OKU?

 

“Kami golongan OKU sangat memerlukan bas seperti Hino Poncho yang dapat menjemput penumpang walaupun di lorong sempit dan di jalan kampung,” katanya yang juga seorang OKU. Beliau menggunakan kerusi roda kerana lumpuh kedua-dua belah kakinya akibat diserang penyakit polio sejak kecil.

 

Apabila menaiki bas persiaran sedia ada, tambah beliau, penumpang OKU anggota tubuh perlu beralih ke kusyen bas di bahagian atas manakala kerusi roda mereka diletakkan di ruang menyimpan barang di bahagian bawah bas. Keadaan itu menyukarkan kedua-dua pihak iaitu penumpang OKU dan mereka yang membantu.

 

Justeru itu, Suhairi yang memuji syarikat Hino Motors Limited kerana berjaya mencipta bas khas yang mesra penumpang OKU, berharap bas Hino Poncho dapat berada di atas jalan raya dalam kadar segera.

 

Beliau juga berharap kerajaan dapat mendengar rintihan golongan sepertinya untuk terus menambah baik sistem pengangkutan awam dari semasa ke semasa.

 

Suhairi juga memetik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh baru-baru ini bahawa setakat April 2019, sejumlah 540,986 kad OKU dikeluarkan kementerian itu, dengan golongan OKU fizikal mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 37 peratus, OKU masalah pembelajaran (33 peratus) dan OKU penglihatan (8 peratus).

 

 

 

Berita selanjutnya