AirAsia terima pesawat A330neo pertamanya

KUALA LUMPUR, 10 Ogos :  AirAsia Bhd telah menerima pesawat  A330neo pertamanya, yang akan beroperasi bagi syarikat bersekutu jarak jauhnya AirAsia X Thailand.

 

 

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata pesawat itu diterima menerusi pemberi pajak Avolon dan menjadi antara dua set  A330neo yang pertama untuk menyertai kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu pada akhir tahun.

 

“Menerusi cirinya yang ekonomik, A330neo akan membawa perubahan dalam kecekapan bahan bakar bagi operasi jarak jauh AirAsia.

 

“A330neo generasi baharu itu akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok di Thailand, bagi menyokong pertumbuhan dan rancangan peluasan rangkaian syarikat penerbangan ke pasaran utama seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

AirAsia berkata  A330-900 AirAsia X Thailand  mempunyai 377 tempat duduk dalam konfigurasi dua kelas, terdiri 12 Premium Flatbed dan 365 tempat duduk kelas ekonomi.

 

“Syarikat bersekutu jarak jauh AirAsia iaitu  AirAsia X ketika ini beroperasi menggunakan pesawat 36 A330-300 dan merupakan pelanggan terbesar bagi  A330neo dengan sudah menerima 66 tempahan.

 

“ A330neo merupakan pesawat generasi baharu sebenar  bercirikan A330 badan lebar paling popular dan menggunakan teknologi A350 XWB,” katanya.

 

Menggunakan enjin kuasa Rolls-Royce Trent 7000 terkini,  A330neo menawarkan tahap kecekapan luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini — dengan bahan bakar 25 peratus lebih rendah bagi setiap  tempat duduk berbanding generasi pesaing sebelum ini.

 

Berita selanjutnya