Taman Botani P.Pinang harap disenaraikan di bawah UNESCO

GEORGE TOWN, 13 Ogos : Kerajaan negeri berharap Pulau Pinang akan meraih gelaran taman botani keempat yang disenaraikan di bawah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo hari ini berkata terdapat tiga taman botani UNESCO  di seluruh dunia iaitu Taman Botani Singapura, Taman Botani Diraja di Kew, United Kingdom, dan Taman Botani Rio de Janeiro di Brazil.

 

Jagdeep berkata Taman Botani Pulau Pinang lebih menonjol berbanding tiga lagi taman botani itu berikutan taman di negeri ini adalah taman semula jadi sedangkan ketiga-tiga taman berkenaan adalah buatan manusia.

 

“Malah Nigel Taylor, kurator Taman Botani Singapura, berkata beliau amat berkeyakinan bahawa taman botani kita berpotensi besar untuk disenaraikan di bawah Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya pada sidang akhbar di sini.

 

Sementara itu, Jagdeep berharap kerja fizikal bagi Pelan Kawasan Khas (SAP) Taman Botani Pulau Pinang boleh dimulakan tahun ini.

 

SAP Taman Botani Pulau Pinang, yang dicadangkan sejak Mac 2011 dan diluluskan serta diwartakan pada 4 Julai tahun ini, mengandungi 25 butiran projek, termasuk tujuh projek utama.

 

Menurut Jagdeep, tujuh projek utama itu adalah pembinaan pusat pengunjung utama, pusat penyelidikan dan konservasi, Malaysiana Boulevard, arena semula jadi, menara tinjau dan anjung tinjau, di samping membaik pulih kemudahan taman persiar dan laman khidmat, tapak semaian serta sistem saliran.

 

Kurator Taman Botani Pulau Pinang Dr Saw Leng Guan berkata pintu masuk ke taman itu akan ditempatkan semula kira-kira 700 meter dari lokasi asal ke pusat pengunjung utama sebaik sahaja projek itu siap.

 

Selain itu, kata Saw, ruang letak kenderaan sedia ada juga akan ditempatkan semula di lokasi sama.

 

“Pengunjung kemudiannya akan dipersilakan masuk ke dalam taman, yang akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjadikannya lebih mudah dikunjungi orang ramai,” katanya.

 

Berita selanjutnya