Anak wanita hilang ketika berkayak di perairan Endau berterima kasih kepada anggota SAR

MERSING, 14 Ogos: Anak lelaki Puah Geok Tin, wanita yang dilaporkan hilang ketika berkayak di perairan Endau, di sini, Khamis lepas, berterima kasih kepada seluruh agensi penyelamat yang bertungkus lumus melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ibunya.

 

Louis Pang, 24, berkata agensi penyelamat sentiasa memberikan sokongan kepada keluarganya dan meneruskan pencarian yang tidak mudah di samping dalam keadaan menyambut Aidiladha.

 

“Saya amat berterima kasih kepada APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) atas bantuan.

 

“Saya dan keluarga saya amat berterima kasih di atas usaha mencari ibu saya,” katanya kepada pemberita di Jeti Penyabong, di sini hari ini.

 

Pang berkata selagi belum membuat pengecaman terhadap mayat wanita yang ditemui di perairan Kemaman, tengah hari tadi, dia menaruh harapan tinggi bahawa ibunya masih selamat.

 

“Saya dan keluarga mengharapkan yang terbaik,” katanya.

 

Pang turut menyifatkan ibunya yang gemar melakukan aktiviti lasak sebagai seorang yang penyayang terhadap semua orang.

 

Khamis lepas, Puah, 57, dan seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, kedua-duanya warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

 

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

 

Semalam, kayak dinaiki kedua-dua mereka ditemui pada 12.55 tengah hari di perairan Kuantan, Pahang sebelum mayat seorang wanita ditemui nelayan pada 12.50 tengah hari tadi di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu.

Berita selanjutnya