Roket pembawa satelit komersial China, Smart Dragon-1, lakukan penerbangan sulung

JIUQUAN, 17 Ogos : Roket pembawa satelit China, Smart Dragon-1 (SD-1), yang direka untuk penggunaan komersial, telah melakukan penerbangan sulungnya pada Sabtu dengan menghantar tiga satelit ke orbit yang dirancang, lapor agensi berita Xinhua.

 

Roket itu, yang dibangunkan syarikat China Rocket Co Ltd yang bersekutu dengan China Academy of Launch Vehicle Technology (CALVT), berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada pukul 12.11 malam (waktu Beijing).

 

Tiga satelit, masing-masing dibangunkan oleh tiga syarikat berpangkalan di Beijing, akan digunakan untuk perkhidmatan penderiaan jauh, komunikasi dan Internet benda.

 

Berbeza daripada roket pembawa daripada kategori Long March, siri baharu Dragon dibangunkan dalam mod komersial bagi memenuhi permintaan pasaran bagi pelancaran satelit komersial kecil, kata Wang Xiaojun, ketua CALVT.

 

SD-1, berukuran 19.5 meter panjang dengan diameter 1.2 meter, serta seberat 23.1 tan, adalah roket pembawa bahan dorong pepejal berskala kecil berupaya menghantar 200 kilogram muatan ke orbit segerak solar pada ketinggian 500 kilometer.

 

“Ia memiliki kecekapan membawa paling tinggi dalam kalangan roket bahan dorong pepejal komersial China ketika ini,” kata Gong Min, pengurus teknikal projek SD-1.

 

Ia mengambil masa kurang 18 bulan untuk membangunkan SD-1, yang merupakan tempoh tersingkat bagi membangunkan jenis baharu roket pembawa di China.

 

Berita selanjutnya