Harimau Malaysia longlai, alami kekalahan ketiga di Tokyo

KUALA LUMPUR, 20 Ogos:  Malaysia terus gagal mengutip sebarang mata apabila kalah perlawanan ketiga dan terakhir bagi perlawanan peringkat awal Acara Percubaan ‘Tokyo Ready Steady’ kepada pasukan nombor lapan dunia, New Zealand 1-3 di Stadium Hoki Oi di Jepun hari ini.

 

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dalam kejohanan tersebut, selepas tewas kepada tuan rumah Jepun 1-3 dan kalah teruk 0-6 kepada pasukan nombor lima dunia, India, dalam perlawanan sebelumnya.

 

Kemenangan itu membolehkan pasukan Black Sticks itu, melangkah ke perlawanan akhir selepas memenangi dua perlawanan sebelum ini, dengan mengalahkan Jepun dan India, masing-masing 3-1 dan 2-1.

 

Menurut laman Facebook Persekutuan Hoki Malaysia (MHC), perlawanan hari ini, menyaksikan Malaysia membuka jaringan melalui Najmi Farizal Jazlan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-21, namun skuad Kiwi, bangkit dan menjaringkan tiga gol padang melalui Jared Panchia (minit ke-30), pukulan sudut penalti Nic Wood (minit ke-39) dan satu lagi gol padang Hugo Inglis.

 

Ketua Jurulatih Roelant Olthmans berkata, memandangkan ini merupakan perlawanan ke-12 dalam tempoh tiga minggu dalam cuaca yang basah (waktu rehat antara suku ketiga dan keempat hanya empat minit) ia satu keputusan yang munasabah.

 

“Kami tidak dapat sempurnakan peluang yang ada dan lakukan beberapa kesilapan individu, yang menafikan kami untuk mendapat keputusan yang lebih baik,” kata jurulatih berusia 65 tahun dari Belanda itu.

 

Dalam hal ini, Oltmans mengesa anak buahnya untuk bangkit kembali dari kekalahan dan untuk berikan yang terbaik, ketika menghadapi pasukan tuan rumah dalam perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat esok.

 

India akan bertemu New Zealand dalam perlawanan akhir esok, selepas pasukan itu menewaskan Jepun dalam satu lagi perlawanan peringkat awal.

 

Hoki Padang merupakan salah satu daripada 56 acara percubaan yang diadakan di sekitar Tokyo sebagai persediaan Jepun memastikan lokasi dan prosedur operasi dalam keadaan terbaik, sebelum berlangsungnya Olimpik Tokyo 2020.

 

Sebelum acara itu Harimau Malaysia telah menjalani sembilan perlawanan, sewaktu jelajah perlawanan ujian mereka di Eropah, sebagai sebahagian daripada persediaan mereka menghadapi Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadalkan antara Oktober dan November tahun ini.

 

Berita selanjutnya