Guru sanggup berbelanja besar sambut Hari Kebangsaan

Oleh Nur Adila Abdul Wahab

 

BALIK PULAU, 21 Ogos: “Kalau tidak ada baju raya baharu tidak ada masalah tapi kalau tidak ada bendera saya tidak boleh tidur dan kadang-kadang sehingga termimpi-mimpi kalau bendera tak cukup,” kata seorang guru, Normala Md Desa, 56.

 

Normala mengakui persiapan menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun lebih meriah berbanding menyambut hari perayaan berikutan semangat cintakan negara yang sangat menebal dipupuk dalam dirinya sejak kecil.

 

Beliau sanggup mengeluarkan duit yang banyak hanya untuk membeli Jalur Gemilang dan menghias rumahnya bagi mewujudkan suasana meriah sambutan kemerdekaan.

 

 

“Dari kecil lagi sejak umur saya 10 tahun, saya dah ikut ayah saya pasang bendera di rumah. Setiap kali merdeka bagi keluarga saya dah macam satu hari istimewa. Walaupun masa dulu payah nak dapatkan bendera tapi ayah saya usahakan juga sekurang-kurangnya 50 keping bendera mesti ada,” katanya kepada Bernama.

 

Normala berkata setiap tahun beliau bersama suami, Tajuddin Abd Rani, 62, dan anak-anak akan mencari idea untuk menghias rumah mereka sempena menyambut Bulan Kebangsaan dan kebiasaannya pada 1 Ogos beliau telah mula membuat persiapan.

 

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata beliau membelanjakan kira-kira RM3,000 tahun ini untuk membeli bendera dan membina replika keretapi Bukit Bendera dan beberapa replika lain yang diletakkan di perkarangan rumahnya di Kampung Perlis, di sini.

 

Beliau berkata selain itu, replika Jambatan Pulau Pinang yang dihasilkan dengan paip dan papan serta Menara Berkembar Petronas (KLCC) dibuat dengan menggunakan 945 botol mineral turut diletakkan di perkarangan rumah itu.

 

“Replika Menara KLCC dan Jambatan Pulau Pinang saya buat tahun lepas sempena pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan Jabatan Penerangan. Saya dapat tempat pertama bagi peringkat negeri manakala naib johan peringkat kebangsaan. Bagi saya kemenangan ini sebagai bonus.

 

“Apa yang penting pada saya adalah satu kepuasan selepas melihat keadaan rumah yang meriah, penuh dengan bendera, replika dan sebagainya. Bila angin tiup saya tengok semua bendera berkibar saya rasa seronok. Perkarangan rumah saya juga nampak cantik,” katanya.

 

Normala berkata pada mulanya beliau agak takut orang kampung tidak dapat menerima minatnya itu, namun perasaan itu hilang apabila rumahnya menjadi tumpuan penduduk kampung malah orang luar termasuk pelancong turut singgah untuk bergambar di persekitaran rumahnya.

 

Normala berkata suaminya sebelum ini pernah menasihati supaya tidak membeli bendera terlalu banyak kerana membazir, bagaimanapun selepas melihat minat dan semangat cintakan negara yang tinggi, beliau memberi sokongan penuh kepadanya.

 

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata beliau sering mengajak suami, anak-anak dan cucunya untuk turut serta memasang bendera dan mencipta replika kerana mahu memupuk semangat patriotik dan rasa cintakan negara dalam diri mereka terutamanya generasi muda.

 

Beliau berkata anak keempatnya, Nurul Nadiah Tajuddin, 22, kini mula menunjukkan minat ke arah itu dan beliau berharap anak perempuannya itu mengikut jejak langkahnya serta mengekalkan tradisi keluarga.

 

Normala berkata minatnya itu tidak hanya terhenti di rumah malah beliau turut menghias kelas di tadika tempatnya mengajar dengan melibatkan penyertaan murid-murid prasekolah dan ibu bapa.

 

Sementara itu, Nurul Nadiah yang turut meminati kerja-kerja menghias rumah melahirkan rasa bangga terhadap ibunya yang sanggup berbelanja besar hanya untuk membeli bendera sebagai tanda cintakan tanahair.

 

“Saya rasa seronok dan bangga sebab tak ramai yang ada semangat macam mak saya. Arwah Tok Wan pun semangat macam itu juga,” katanya.

Berita selanjutnya