Pemancing dipercayai lemas ketika cuba selamatkan anak terjatuh daripada bot

KUALA PENYU, 25 Ogos: Seorang bapa dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh daripada bot akibat dipukul ombak pagi tadi.

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dalam kenyataan di sini malam ini memaklumkan kejadian itu berlaku di pantai Sabang Kampung Kekapor ketika mangsa keluar memancing bersama seorang rakannya pada jam 8.30 pagi.

 

Menurut kenyataan itu, mangsa dikenali sebagai Jahar Asri berumur dalam lingkungan 40an terjun ke laut tanpa memakai jaket keselamatan untuk menyelamatkan anaknya.

 

“Rakan mangsa yang kemudian menghidupkan enjin bot dan mencari kedua-dua mereka, bagaimanapun hanya menemukan anak mangsa yang terapung sebelum dibawa ke daratan,” menurut kenyataan itu.

 

Anak mangsa, Izam Jahar, 20an disahkan meninggal dunia  oleh pihak polis dan usaha mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu pada jam 10.30 pagi tadi.

Berita selanjutnya