kiplePay perkenal sistem parkir diperkasa teknologi AI

KUALA LUMPUR, 30 Ogos : Anak syarikat Green Packet Bhd, kiplePay Sdn Bhd memperkenalkan teknologi pengiktirafan plat lesen (LPR) di Malaysia untuk parkir kenderaan, dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi melalui portal pengurusan berpusat, e-dompet dan pembayaran digital.

 

Dicipta khas untuk memudahkan pemilik parkir dan pengurusan hartanah, LPR kiplePark boleh digunakan untuk kemudahan parkir dalam dan luar, katanya dalam kenyataan hari ini.

 

“kiplePark bukan sahaja mengenai pembayaran tiket parkir. Ia juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang membolehkan pengguna ‘mengunci’ kereta mereka daripada dibawa keluar daripada kawasan itu. Langkah ini mampu mengelakkan potensi kecurian kereta selagi kereta itu berada di kawasan parkir,” menurut Ketua Pegawai Operasi kiplePay Sdn Bhd, Mike Lee.

 

Mengenai pembayaran, beliau berkata pengguna akan menerima notifikasi dan e-tiket menerusi aplikasi,  manakala semasa keluar, sistem LPR kiplePark akan mengimbas nombor plat kenderaan secara automatik dan pembayaran akan ditolak serta merta daripada e-dompet pengguna.

 

Ketika ini, LPR kiplePark sedang di peringkat percubaan danujian di kawasan lain di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

 

Berita selanjutnya