USM cipta sejarah terima teknologi rawatan sut robotik Jepun

GEORGE TOWN, 30 Ogos : Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah hari ini apabila menjadi universiti pertama di Malaysia menerima teknologi sut robotik ‘Hybrid Assisted Limb’ (HAL) hasil ciptaan Cyberdyne Inc dari Jepun.

 

Ini berikutan perjanjian persefahaman (MOU) antara USM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang merupakan satu-satunya organisasi di Malaysia menggunakan sut robotik HAL dalam program rehabilitasi perubatan berteknologi tinggi di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) di Melaka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Muhammad Azman Aziz Muhammad berkata PRPTAR menggunakan teknologi HAL bagi merawat pekerja yang diinsuranskan Perkeso yang mengalami kekurangan daya fizikal ataupun kehilangan upaya akibat kecederaan atau gangguan dalam sistem saraf pusat mereka.

 

“Perkeso telah menghantar 12 orang anggota dari PRPTAR ke Jepun untuk menjalani latihan menggunakan teknologi ini sebelum mereka ditempatkan di HUSM (Hospital USM di Kubang Kerian) untuk melatih pula pegawai perubatan di sana.

 

“Kita akan mula menempatkan enam unit HAL dan bilangan itu akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU di sini.

 

Menurut Dr Muhammad Azman, sut robotik HAL menggunakan teknologi ‘cybernics’ dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan isyarat bioelektrik dari otak pesakit dan seterusnya membantu pesakit berkenaan bergerak berdasarkan isyarat yang diterima.

 

Sut ini juga membekalkan penambahbaikan dan fungsi regenerasi untuk pesakit yang mengalami gangguan saraf dan berdasarkan rekod pesakit-pesakit yang telah dirawat, teknologi perubatan menerusi kaedah ini terbukti dapat membantu pesakit pulih dengan lebih cepat berbanding kaedah rawatan lain.

 

Beliau berkata Perkeso kini sedang merancang untuk membuka peluang rawatan menggunakan teknologi ini kepada masyarakat awam dan tidak hanya khusus untuk para pencarumnya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan Bahagian Asia Pasik Cyberdine Inc, Ikuo Kudo berkata sut ini telah digunakan secara meluas di Jepun sejak 2011 dan kini sebanyak 1,100 unit digunakan secara aktif di pusat-pusat rehabilitasi, kompleks beli-belah, kedai serbaguna, bangunan awam dan sebagainya di negara itu.

 

Dalam pada itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata pengenalan rawatan sut robotik ini dapat menjadi satu lagi tarikan di bawah sektor pelancongan perubatan khususnya di HUSM yang terletak dalam kawasan koridor Pantai Timur.

 

Katanya Perkeso dan USM juga sedang merangka pelan untuk membawa teknologi itu ke Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM di Bertam, Pulau Pinang, bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan.

 

Berita selanjutnya