MOF akan memastikan RM43 juta dibayar kepada KWAP pada 30 sept

UALA LUMPUR, 2 Sept:  Kementerian Kewangan (MoF) akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan SRC International Sdn Bhd (SRC) seterusnya yang berjumlah RM43.02 juta kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

 

Berdasarkan jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran berikutnya adalah pada September 30, 2019, melibatkan amaun sebanyak RM43.02 juta faedah.

 

Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada baki pembiayaan sebanyak RM3.80 bilion yang akan berakhir pada 2022, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

 

“Memandangkan pembiayaan berkenaan dijamin oleh kerajaan dan bagi mengelakkan kejadian keingkaran pembayaran balik pinjaman, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mematuhi jadual pembayaran balik pembiayaan berkenaan,” katanya.

 

Pembayaran terkini yang dibuat adalah pada 29 Ogos 2019 iaitu sebanyak RM344.68 juta yang merangkumi RM300 juta prinsipal dan faedah sebanyak RM44.68 juta.

 

SRC adalah anak syarikat kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

 

SRC telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada KWAP pada 26 Ogos 2011 (pinjaman pertama berjumlah RM2.0 bilion) dan pada 27 Mac 2012 (pinjaman kedua yang berjumlah RM2.0 bilion) yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan.

 

Jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh MoF bagi pihak SRC setakat ini sebanyak RM1.69 billion – prinsipal dan faedah.

 

“Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan berkenaan kepada KWAP, yang membuktikan kemampuan kerajaan persekutuan (walaupun terdesak dalam aspek fiskal) untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.”

 

Berita selanjutnya