Samsung perkenal Exynos 980, miliki modem pemproses 5G terkini

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Samsung Electronics Corporation Ltd hari ini memperkenalkan telefon mudah alih terbaharunya dilengkapi modem bersepadu 5G terkini – Exynos 980 dengan pengeluaran secara besar-besaran dijangka bermula pada akhir tahun ini.

 

Syarikat elektronik pengguna itu berkata Exynos 980 turut dilengkapi ciri kesalinghubungan yang terbaik dalam kelasnya dengan modem bersepadu 5G dan prestasi pemproses pintar dalam satu cip sahaja.

 

Naib Presiden pemasaran System LSI Samsung Electronics, Ben Hur berkata Exynos 980 itu membuktikan kesungguhan usaha Samsung untuk menjadikan teknologi 5G itu lebih mudah diakses oleh pelbagai peringkat pengguna selain menjadikan syarikat itu terus menerajui inovasi dalam pasaran segmen mudah alih.

 

“Menerusi pelancaran 5G kami pada tahun lepas, Samsung telah memacu revolusi 5G dan membuka laluan ke arah perkembangan mobiliti berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya, bersandarkan teknologi pemproses FinFET 8 nanometer (nm) serba maju, Exunos 980 adalah pemproses mudah alih bercirikan kecerdasan pintar (AI) pertama Samsung yang dilengkapi dengan modem bersepadu 5G.

 

“Daripada modem 5G itu diasingkan, Exynos 980 yang dilengkapi teknologi 5G itu sebaliknya tidak hanya membantu menjimatkan penggunaan tenaga tetapi turut meningkatkan kecekapan ruang dalam peranti sama,” katanya.

 

Beliau berkata, pemproses modem mudah alih baharu dan berkuasa itu menyokong teknologi 5G sehingga rangkaian 2G dan menawarkan kemudahan muat turun dengan kelajuan gigabit serba pantas dalam LTE 4G dan sehingga 2.55-gigabit sesaat (Gbps) dalam 5G sub-6-gigahertz (GHz).

 

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman sesawang www.samsung.com/exynos.

Berita selanjutnya