Cadangan penggabungan Axiata-Telenor dibatalkan

KUALA LUMPUR, 6 Sept : Axiata Group Bhd dan Telenor ASA bersama-sama bersetuju untuk menamatkan perbincangan mengenai cadangan penggabungan aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Axiata berkata pada sepanjang tempoh empat bulan lepas, kedua-dua pihak telah melaksanakan usaha wajar mereka dan memuktamadkan perjanjian transaksi yang perlu diselesaikan pada suku ketiga 2019.

 

Bagaimanapun, disebabkan beberapa kerumitan membabitkan urus niaga dicadangkan tersebut, pihak-pihak terbabit telah bersama-sama bersetuju untuk menghentikan perbincangan tersebut, kata kumpulan tersebut.

 

Kedua-dua pihak masih akui rasional strategik transaksi yang kukuh itu dan tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan transaksi pada masa depan.

 

Axiata berkata penamatan transaksi dicadangkan itu tidak akan menjejaskan kemampuan kumpulan itu untuk mencapai aspirasi Juara Digitalnya menjelang 2022.

 

Pengerusi Axiata Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata lembaga itu menyedari tahap kerumitan cadangan penggabungan itu yang melibatkan sembilan negara dan 14 entiti utama.

 

“Bagi pihak lembaga Axiata, kami berterima kasih atas sokongan daripada kerajaan Malaysia, para pelabur kami dan semua kakitangan kami pada sepanjang proses tersebut,” katanya.

 

Sementara itu, Presidan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata Axiata kekal sebagai antara pengendali mudah alih terbesar di rantau ini.

 

“Hari ini, kami beroperasi daripada kedudukan kukuh, dengan kesemua lapan syarikat beroperasi dengan baik dan optimis namun berhati-hati bagi memenuhi penunjuk prestasi utama 2019 kami,” katanya.

 

Beliau berkata Axiata yakin dapat memperoleh manfaat daripada pelaburannya dalam bidang pertumbuhan baharu termasuk Perusahaan, Rumah, Perkhidmatan Nilai Tambah Digital, Perniagaan Digital dan Infrastruktur dalam beberapa tahun akan datang.

 

“Kami akan terus meneroka secara aktif kemungkinan melaksanakan penyatuan dan peluang-peluang pengoptimuman portfolio untuk memanfaatkan sinergi, meningkatkan kecekapan dan pendanaan dalam bidang pertumbuhan ekonomi pada masa depan,” katanya.

 

Berita selanjutnya