FAM beri penghargaan kepada dua penyokong skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memberikan penghargaan kepada dua penyokong skuad Harimau Malaya, yang memberikan sokongan dalam dua suasana berbeza, sewaktu Malaysia mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada aksi sulung Kumpulan G, Pusingan Kelayakan Kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Khamis lepas.

 

Video peminat cilik Harimau Malaya, Omar Saiful Razman, 8, yang bersorak dan menangis selepas meraikan gol kemenangan pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh yang tular di laman sosial, telah mendapat perhatian beberapa pemain skuad Harimau Malaya.

 

Empat pemain skuad kebangsaan diketuai Sumareh, Shahrul Mohd Saad, Muhammad Syafiq Ahmad dan kapten skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias, telah membuat kejutan dengan menghadiahkan tiket kepada Omar, untuk menyaksikan aksi kedua Kumpulan G di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi satu pertemuan khas yang diatur FAM di hotel penginapan pemain skuad kebangsaan di Seri Kembangan, dekat sini.

 

FAM yang berkongsi video kejutan berkenaan di laman Facebooknya hari ini, turut memaklumkan Omar turut menerima sehelai jersi Harimau Malaya yang ditandatangani oleh Sumareh sendiri.

 

Omar merupakan anak sulung kepada pelakon Nadiya Nisaa dan suaminya, Saiful Razman Mohd Kassim.

 

Video Omar yang bersorak dan menangis gembira selepas Mohamadou Sumareh menjaringkan gol kemenangan skuad Harimau Malaya ke atas Indonesia menjadi tular di laman sosial baru-baru ini, sehingga mendapat perhatian netizen yang berbangga, dengan semangat ditunjukkan peminat cilik berkenaan.

 

Dalam perkembangan sama, FAM turut menghargai sokongan yang dipamerkan peminat setia Harimau Malaya Mohd Zulrani Helmi Mohd Zakri, 39, yang patah tangan kiri, ketika menyaksikan perlawanan itu di Jakarta.

 

Farizal, Shahrul, Muhammad Syafiq Ahmad bersama Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menziarahi Mohd Zulrani di kediamannya di Kuala Lumpur, hari ini, telah menghadiahkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan di antara Malaysia dan UAE pada 10 Sept, selain sedikit sumbangan pada pertemuan berkenaan.

Berita selanjutnya