Ladang solar Kedah akan tingkatkan aktiviti industri dan pertanian negeri

KUALA LUMPUR, 9 Sept : Kedah kini mempunyai antara ladang solar terbesar di Malaysia, yang akan menyediakan tenaga bersih untuk menyokong aktiviti perindustrian dan pertanian di negeri ini dan membawa manfaat ekonomi yang meluas kepada masyarakat.

 

Kejayaan ini dicapai hasil pemasangan 180,000 panel photovoltan oleh pengeluar kuasa bebas, Edra Power Holdings Sdn Bhd, di Ladang Solar Kuala Ketil.

 

Ladang solar itu dilancarkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Ahad ..

 

Pengarah Projek Ladang Solar Kuala Ketil Edra, Md Shamsul Bahrin Hussain berkata ladang solar itu yang meliputi kawasan seluas 104 hektar (260 ekar), merupakan antara ladang solar berskala besar pertama Malaysia yang siap mendahului jadual pembinaannya.

 

Dijangka menjana anggaran 78,400 kilowatt sejam elektrik setiap tahun, tenaga solar yang dihasilkan cukup untuk menerangi purata 30,000 rumah untuk 25 tahun akan datang dan akan mengimbangi kira-kira 54,000 tan pelepasan karbon setahun.

 

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini beliau berkata projek ladang solar yang dijalankan oleh anak syarikat Edra, Edra Solar Sdn Bhd, itu juga merupakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan itu untuk memulakan jejak tenaga boleh baharu di Asia Tenggara.

 

Ladang Solar Kuala Ketil mencapai operasi komersil pada 25 Feb lepas dengan tenaga boleh baharu yang dijana itu disambung ke grid nasional Disember lepas.

 

“Projek itu menggunakan 35 peratus kandungan tempatan. Kami menggunakan khidmat subkontraktor tempatan sepanjang tempoh pembinaan selain tenaga kerja tempatan untuk kerja-kerja penyelenggaraan untuk terus menyokong ladang solar ini,” kata Md Shamsul.

 

Ladang Solar Kuala Ketil milik Edra ialah loji penjanaan kuasa yang berbeza, kerana kami telah menambah nilai penggunaan tanah untuk melengkapkan inisiatif pertanian Kedah.”

 

Edra memperuntukkan 30 meter zon penampan di sekitar ladang solar untuk penanaman buah-buahan, yang menyediakan pendapatan mampan kepada masyarakat setempat.

 

“Kajian mengenai kedudukan tanah telah yang dilakukan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Ketil (PPK,) mendapati ia sesuai untuk kegiatan pertanian, dan kami memilih untuk menanam nanas MD2 dan Moris.

 

“Ladang nanas seluas kira-kira 16 hektar (40 ekar), dijangka menyediakan pendapatan kasar kira-kira RM684,000 untuk satu kitaran penuaian selama 14 bulan atau jumlah pendapatan kasar sebanyak RM14 juta dalam tempoh 25 tahun,” katanya.

 

Dari segi manfaat sosial kepada masyarakat, inisiatif oleh Edra ini akan memberi manfaat kepada lebih 2,600 petani dan pembangunan ekonomi tempatan, sehingga mewujudkan 106 peluang pekerjaan langsung kepada masyarakat setempat di Kuala Ketil.

 

Berita selanjutnya