Tak mustahil Harimau Malaya cipta kejutan ke atas UAE

KUALA LUMPUR, 9 Sept : Skuad Harimau Malaya mampu mencipta kejutan dengan mengatasi pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam esok.

 

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tidak mustahil buat skuad kebangsaan yang menghuni ranking ke-159 dunia untuk menewaskan pasukan ranking ke-65 itu jika semua pemain memberikan komitmen dan fokus sepenuhnya dalam aksi di Stadium Nasional itu.

 

Beliau yang masih tidak dapat melupakan kekalahan 10-0 Harimau Malaya kepada pasukan itu pada kempen kelayakan edisi terdahulu pada 2015, iaitu kekalahan terbesar dalam sejarah buat pasukan negara, mengingatkan pemain bahawa pasukan seperti UAE adalah antara lawan yang perlu diatasi untuk mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2023 di China.

 

“Saya ada beritahu dengan pemain bahawa tiada sebab untuk takut dan bermain dengan yakin. Jadi komitmen penuh dituntut dari semua pemain, terutamanya penjaga gol dan bahagian pertahanan untuk elak dibolosi.

 

Saya mahu mereka beri 100 peratus dalam perlawanan itu dan berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan. Tak mustahil kita boleh mencipta kejutan apabila beraksi di gelanggang sendiri dan kita sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi ini,” katanya.

 

Hamidin turut menyeru penyokong turun ke stadium memberikan sokongan padu kepada pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu.

 

Difahamkan bahawa lebih 12,000 tiket bagi aksi itu telah dijual secara dalam talian sehingga semalam.

 

Malaysia kini menduduki tangga teratas Kumpulan G dengan tiga mata selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pertama Khamis lalu, manakala UAE bakal memulakan kempen pada esok.

 

Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, Vietnam mengikat Thailand tanpa jaringan di Bangkok.

 

Berita selanjutnya