Aksi Max curi perhatian pengunjung Zoo Negara

KUALA LUMPUR, 10 Sept : Seekor cimpanzi jantan bernama Max mencuri perhatian pengunjung di Zoo negara dengan melakukan aksi yang memukau seolah-olah seperti menari dan bergambar dengan pengunjung yang tertarik dengan personalitinya yang unik.

 

Max yang dikenali sebagai cimpanzi yang suka berdikari dan mesra dengan orang ramai, adalah antara yang paling tua di kalangan enam saudaranya yang lain di zoo, dan juga salah seekor cimpanzi yang paling aktif walaupun telah mencecah usia lanjut 47 tahun.

 

Naib Presiden Kebajikan Zoo Negara Malaysia, Hafidz Rahmat berkata bahawa keunikan jangka hayat panjang Max adalah kerana dia diberi makanan yang sihat dan selalu menjalani pemeriksaan kesihatan.

 

“Di alam hutan, cimpanzi kebanyakannya mencapai usia 32 tahun, tetapi bagi Max kita, dia telah melebihi jangkaan usia tersebut.

 

“Max menyedari bahawa orang ramai teruja dengan aksi animasinya dan berasa gembira apabila dia menerima tepukan gemuruh untuk aksinya yang mencuit hati,” kata Hafidz.

 

Hafidz berkata mawas yang mencecah usia itu telah hidup dalam kurungan sejak lahir dan apabila mencapai usia kritikal, penyediaan makanan kepada haiwan itu dipantau oleh pihak berkuasa zoo.

 

Sebahagian besar daripada senaman yang dijalani oleh Max ialah menerusi gaya hidupnya yang aktif dengan melakukan aksi yang memukau penonton yang datang dan melawatnya di Zoo Negara setiap hari ini.

 

Sementara itu, Symphony Life Sdn Bhd, penganjur bersama acara hari ini adalah pemaju hartanah yang berusaha menyumbang kembali kepada masyarakat dan alam sekitar melalui banyak inisiatifnya.

 

Selaras dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terhadap kemampanan komuniti dan alam sekitar, Max menerima bantuan kewangan daripada kumpulan itu selama dua tahun untuk keperluan hariannya di zoo.

Berita selanjutnya