Ops pengemis, kutu rayau selamatkan bayi 3 bulan

JITRA, 11 Sept : Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan antara yang diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dalam ops sepadu pengemis dan kutu rayau di sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar, malam tadi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Halimaton Shaadiah berkata, bayi berkenaan ditemui bersama ibunya berusia 30-an di kaki lima sebuah bank di Alor Setar, ketika sedang meminta derma daripada orang awam.

 

“Bayi itu kita terpaksa kita ambil dan letakkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), selepas ujian air kencing mendapati ibunya positif dadah, sebelum dia diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), untuk tindakan lanjut.

 

“Ekoran itu, angota pelindung kanak-kanak JKM ke rumah wanita berkenaan di Alor Setar dan mengambil dua lagi anaknya berusia tiga dan empat tahun, yang disyaki terabai untuk dibawa ke wad sama untuk pemeriksaan kesihatan dan tiga beradik itu kini berada di bawah pengawasan JKM,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi yang turut disertai Pengarah JKM negeri, Azmi Abd Karim itu di sini, malam tadi.

 

Dalam operasi bermula 6 petang hingga 12.30 tengah malam tadi, JKM menahan 12 yang lain termasuk dua lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) warga Thailand dan Kemboja berusia 50-an, yang sedang meminta derma di pasar malam Kepala Batas, dekat sini.

 

Halimaton Shaadiah berkata OKU yang seorang buta kedua belah mata dan seorang lagi kudung kaki kiri yang diselamatkan di pasar malam Kepala Batas itu, diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

 

Katanya bagi pengemis dan kutu rayau warga tempatan, mereka dibawa balik ke pejabat JKM negeri di Anak Bukit, Alor Setar untuk proses dokumentasi, sebelum dihantar menetap sementara  di rumah perlindungan JKM.

 

“Saya nasihatkan orang ramai agar tidak mudah menderma dan perhati dulu, kerana ada segelintir pengemis atau peminta sedekah ini orang luar yang cuba menipu dan menjadikan kegiatan ini sebagai sumber pendapatan utama, kerana secara puratanya setiap orang akan memperolehi sekitar RM100 hingga RM300 sehari.

 

“Kita juga gerakkan kempen ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ bagi memberi kefahaman kepada orang awam untuk beralih bantuan ke saluran yang betul, seperti kepada rumah anak yatim, Pusat Kutipan Zakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat-pusat ibadat,” katanya.

 

Mengikut rekod, sejak Jan hingga Ogos lepas, sebanyak 67 operasi dijalankan di seluruh negeri dan seramai 121 orang pengemis dan kutu rayau berjaya diselamatkan yang turut membabitkan 35 warga asing dengan jumlah pungutan sebanyak RMRM7,541.

 

Berita selanjutnya