Taman-Taman Sabah siasat terumbu karang rosak di Kudat akibat kapal kargo terkandas

KOTA KINABALU, 11 Sept : Taman-Taman Sabah memandang serius kerosakan kawasan terumbu karang di Taman Tun Mustapha berhampiran Pulau Kalampunian di perairan Kudat disebabkan oleh sebuah kapal kargo yang terkandas.

 

Pengarahnya Dr Jamili Nais berkata kejadian itu mungkin melibatkan sejumlah kerosakan terumbu karang di dalam taman marin itu dan kes ini sedang disiasat di bawah peruntukan Enakmen Taman-Taman 1984.

 

“Kapal kargo tersebut telah ditunda keluar oleh agen syarikat berkenaan pagi tadi dan ditarik ke kawasan perairan yang lebih dalam.

 

“Bagaimanapun, pihak Taman-Taman Sabah tidak membenarkan kapal tersebut untuk belayar keluar sehingga keperluan dokumentasi bagi tujuan siasatan kes selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

 

Kapal kargo tempatan itu terkandas di perairan taman marin itu pada pagi Ahad lepas disebabkan kerosakan pada sistem navigasi.

 

Kapal yang berdaftar di Kuching, Sarawak dalam pelayaran dari Sandakan menuju Kemaman, Terengganu.

 

Berita selanjutnya