Tingkat sembilan bangunan MAIWP di Kampung Baru terbakar

KUALA LUMPUR, 11 Sept : Pengunjung kedai makan yang terletak berhampiran tapak pembinaan bangunan Majlis Agama Islam Persekutuan (MAIWP) di Lorong Haji Hussein 2, Kampung Baru di sini, hari ini gempar seketika selepas  salah satu tingkat bangunan itu terbakar.

 

Saksi kejadian, Salina Daling berkata beliau melihat asap tebal berkepul-kepul keluar daripada bangunan itu, mengejutkan pengunjung kedai makan yang terletak bersebelahan dengannya.

 

“Pengunjung di kedai makan ini masing-masing terkejut apabila terdengar suara menjerit  api…api, dan dan berlari keluar untuk melihat punca asap tebal,” katanya yang sedang menikmati makan malam di sebuah kedai berhampiran ketika kejadian.

 

Sementara itu, seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai John berkata dia baharu selesai daftar keluar dari Kuala Lumpur International Hotel yang terletak bersebelahan dengan bangunan itu apabila terdengar suara kecoh di perkarangan hotel itu.

 

“Semua orang berlari ke arah bangunan untuk melihat sendiri api yang kelihatan dan kemudiannya bersurai setelah anggota bomba tiba untuk memadamkan kebakaran,” katanya lagi.

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa Mohd Zain Abdullah Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.42 petang.

 

“Lapan jentera dengan kekuatan 52 anggota dan pegawai daripada empat balai bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.

 

“Insiden itu difahamkan bermula daripada peralatan penyejuk (cooling tower) penyaman udara di tingkat sembilan bangunan yang sedang dalam proses pembinaan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

 

Beliau berkata kebakaran itu berjaya dikawal 20 minit kemudian dan seterusnya kerja pembersihan sisa-sisa kebakaran diteruskan, dan menurutnya kemalangan jiwa berlaku dan punca kejadian masih disiasat.

 

Berita selanjutnya