UTHM kini miliki akademi penerbangan

BATU PAHAT, 11 Sept : Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang memiliki akademi penerbangan yang diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA).

 

Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata pengiktirafan berkenaan diterima pada 6 Sept lepas setelah AATA dianugerahkan Sijil Kelulusan oleh CAAM, sekali gus menjadikan akademi ini organisasi latihan kelima yang diiktiraf di Malaysia.

 

Katanya, akademi penerbangan yang kini beribu pejabat di kampus induk UTHM Parit Raja merupakan hasil kerjasama pintar yang dijalin melalui entiti komersialnya, UTHM Holding Sdn Bhd (UHSB) bersama ATAS Aeronautik Sdn Bhd, bermula sejak Januari tahun ini.

 

Melalui kerjasama ini, AATA telah diluluskan di bawah Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016, Peraturan 64 yang menawarkan latihan pelesenan penerbangan.

 

“Antara latihan yang akan ditawarkan termasuk Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) bagi Kapal Terbang, Lesen Juruterbang Komersial (CPL) bagi Kapal Terbang, Lesen Juruterbang Pengangkutan Syarikat Penerbangan (ATPL) Pengetahuan Teori, Instrument Rating Bagi Kapal Terbang dan Kursus Pengajar Penerbangan bagi Kapal Terbang,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

 

AATA yang diketuai oleh Pengetua Kapten Syaiful ‘Alam Ismail akan beroperasi di dua lokasi iaitu di kampus induk Parit Raja, yang mana penempatannya melibatkan bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

 

Wahid berkata pengajian secara pengetahuan teori akan dilaksanakan di kampus induk kerana terdapat kemudahan seperti bilik kuliah, ruang rehat eksklusif pelajar, perpustakaan, ruang perbincangan, bilik tenaga pengajar, bilik operasi dan bilik mesyuarat bagi memastikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dapat dijalan secara kondusif.

 

Katanya, bagi Pusat Operasi Penerbangan AATA yang bertempat di Senai pula akan lebih tertumpu kepada latihan penerbangan.

 

“Pusat ini (di Senai) juga turut dilengkapi dengan bilik operasi penerbangan, pejabat pengurusan, ruang rehat pelajar, bilik taklimat utama, hangar pesawat serta pesawat latihan seperti Piper PA28 dan Diamond DA 42.

 

“Kami yakin penubuhan akademi penerbangan ini sangat bertepatan dengan keperluan industri dan menjadi kunci kejayaan utama kepada kemampanan program aeronautik UTHM yang mula diperkenalkan sejak tahun 2010,” tambah beliau.

 

Wahid berkata pengiktirafan yang diperoleh daripada CAAM secara langsung membolehkan AATA membantu Malaysia dalam menstabilkan jurang antara penawaran dan permintaan terhadap juruterbang terutama di rantau Asia Pasifik yang memerlukan hampir 36 juruterbang sehari.

 

Berita selanjutnya