M’sia pada kedudukan terbaik di Asia Tenggara untuk R&D AI

KUALA LUMPUR, 12 Sept : Malaysia berada pada kedudukan yang unik di tengah-tengah Asia Tenggara menjadikan kedudukannya itu baik untuk menjadi pendahulu dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam etika Kecerdasan Buatan (AI).

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata Malaysia sedar mengenai potensi dan peluang-peluang yang ditawarkan oleh data dan AI kerana ia adalah kunci pendorong buat Malaysia.

 

“Adalah penting untuk kita membina keupayaan data dan AI yang diperlukan dalam memastikan industri-industri, kerajaan dan rakyat dapat mengambil kesempatan daripada peluang-peluang yang ditawarkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ‘Next Big Tech Asia 2019’ hari ini.

 

Katanya, menurut satu kajian terbaru oleh International Data Corporation, pasaran bagi perisian Data Raya dan analitik di Malaysia diramalkan mencapai RM595 juta menjelang 2021.

 

Gobind menegaskan bahawa dalam membina ekosistem untuk AI dan data, terdapat tiga komponen utama yang perlu diberikan penekanan iaitu bakat, kebolehpercayaan dan etika.

 

“Terdapat persetujuan bersama dalam kalangan kerajaan-kerajaan, para pemimpin industri dan agensi pekerjaan di seluruh dunia bahawa terdapat kekurangan bakat AI di seluruh dunia. Malaysia, seperti juga bahagian-bahagian lain dunia perlu membangunkan bakat yang lebih mendalam untuk memperbesarkan pertumbuhan ekosistem AI kita,” kata beliau.

 

Tambahan pula, kata Gobind, pertumbuhan AI memerlukan keupayaan data raya yang telah dikategorikan sebagai teknologi pemeliharaan privasi yang kritikal bagi penggunaan modal data yang berterusan.

 

“Keperluan kepada penyelesaian privasi semakin meningkat yang membolehkan pengintegrasian data merentasi sempadan. Kita juga memerlukan lebih banyak penyelesaian yang selamat, terutama kaedah-kaedah baru bagi menjadikan data sulit dalam ‘cloud’ awam,” tambah beliau.

 

Dengan meningkatnya penggunakan AI dalam ekonomi dan tenaga keraja di negara ini, Gobind percaya adalah penting untuk bertindak proaktif dalam menangani risiko keselamatan siber negara secara holistik dan memadai.

 

Beliau berkata ia boleh dilakukan menerusi strategi kebangsaan, perundangan dan penguatkuasaan, inovasi dan pembangunan industri, selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

 

“Pembangunan AI juga harus menerapkan nilai-nilai etika, demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

 

Justeru Gobind berkata, dalam membina keupayan AI di Malaysia, kerajaan akan mengambil pendekatan yang praktikal bagi mendapatkan pulangan terbaik kepada pelaburan dalam bidang tersebut.

 

Beliau mengalu-alukan penyertaan daripada pihak kerajaan, rakan industri dan sektor swasta untuk memainkan peranan penting dalam membolehkan negara bersaing dengan negara maju.

 

Mengulas lanjut mengenai AI, Gobind percaya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mampu memainkan peranan penting melalui kerjasama rapat dengan rakan industri serta institusi pengajian tinggi bagi melahirkan bakat dalam bidang AI dalam memenuhi keperluan industri.

 

Malaysia memerlukan lebih ramai kekuatan bakat untuk menambah baik ekosistem teknologi AI dan kerajaan akan terus memberi fokus utama dalam pembangunan bakat bidang AI, katanya.

 

Berita selanjutnya