Pelajar antarabangsa belanja RM46,000 setahun

PUTRAJAYA, 12 Sept : Purata perbelanjaan pelajar antarabangsa di Malaysia adalah kira-kira RM46,000 setahun dan ia meningkat kepada RM88,000 setahun sekiranya mereka membawa ahli keluarga bersama, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Ghazali Abas.

 

Daripada data itu, beliau berkata Malaysia telah menjana purata RM7.2 bilion setahun melalui hasil daripada yuran tuisyen, perbelanjaan sara hidup dan perkhidmatan lain yang diperoleh semasa kursus pengajian mereka.

 

“Peningkatan kos pendidikan dan kos lain yang berkaitan sebanyak 10 peratus setahun, maka sektor ini dijangka menjana RM15.6 bilion apabila kami mencapai sasaran 200,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2020,” katanya dalam ucaptama pada Seminar mengenai Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi 2019 di sini hari ini.

 

Sehingga Mac tahun ini, kemasukan pelajar antarabangsa di Malaysia mencapai 127,583 orang yang mana 70 peratus adalah daripada institusi pendidikan tinggi swasta manakala selebihnya adalah daripada institusi pendidikan tinggi awam.

 

Melihat kepada keadaan ini, katanya, kedua-dua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta digalakkan bekerjasama menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian ke institusi mereka.

 

“Dengan sinergi strategik dalam aktiviti pengantarabangsaan, kami dapat meningkatkan kapasiti institusi dengan menyediakan perkhidmatan sokongan berkualiti tinggi dan mencukupi untuk pelanggan utama kami, pelajar antarabangsa,” katanya.

 

Mohd Ghazali berkata peningkatan bilangan pelajar antarabangsa di Malaysia khususnya dalam sektor pendidikan tinggi akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menjana kesan penggandaan menerusi kemasukan pelajar dan kakitangan akademik.

 

Berita selanjutnya