Kuih bulan 3D olahan Rimba Melati dari Kuching

KUCHING, 14 Sept : Sambutan baik yang diterima daripada pelanggan terhadap kuih bulan halal yang dihasilkan tahun lepas memberi idea kepada wanita ini untuk sekali lagi tampil berbeza dalam penghasilan kuih tradisional masyarakat Cina itu.

 

Jika tahun lepas Rimba Melati Othman, 40, menghasilkan kuih bulan pelbagai bentuk dan warna serta berjaya menjual hampir 1,000 biji, kali ini kreativiti beliau diteruskan lagi dengan menghasilkan kuih bulan 3D.

 

Mengakui proses menghasilkan kuih bulan 3D bukan perkara yang mudah, namun kerana minat dia berjaya melakukannya selepas belajar daripada seorang guru bakeri yang berasal dari Vietnam

 

“Proses membuat kuih bulan 3D tidak banyak beza daripada kuih bulan biasa, namun masih ada beberapa perbezaan seperti jenis tepung yang digunakan, pewarna semula jadi daripada ekstrak buah-buahan, pilihan inti yang sedikit berlainan daripada inti biasa, saiz acuan lebih besar serta alatan khas untuk membentuk ukiran di bahagian atas kuih bulan tersebut.

 

“Saiz dan berat kuih bulan 3D juga lebih besar dan memiliki berat kira-kira 250 gram berbanding kuih bulan bersaiz mini yang saya jual, tahun ini saya hasilkan kuih bulan 3D dengan dekorasi burung, bunga, ” katanya kepada Bernama.

 

Mengikut kalendar Cina, masyarakat Cina di seluruh dunia menyambut perayaan pertengahan musim luruh atau Perayaan Kuih Bulan ini pada hari ke-15 bulan kelapan setiap tahun.

 

Rimba Melati berkata setiap satu kuih bulan 3D yang dihasilkan boleh disiapkan dalam tempoh kira-kira 30 minit.

 

“Namun jika corak atau dekorasi sukar dibuat, masa diperlukan lebih panjang untuk menyiapkannya. Biarpun agak lama namun ia memberi kepuasan untuk membentuk kuih bulan yang lain daripada kuih bulan biasa,” katanya.

 

Di samping kuih bulan 3D, Rimba Melati turut menjual kuih bulan biasa dengan pelbagai jenis pilihan inti seperti teratai, pandan, kacang merah, keju, coklat, teh hijau, keladi dan mangga.

 

Berita selanjutnya