Semangat patriotisme gamit pelanggan stesen minyak

Oleh Habsah Ismail

 

KOTA BHARU, 14 September : Pelanggan sebuah stesen minyak di Melor di sini pasti terpegun melihat kain rentang yang memaparkan wajah kesemua  perdana menteri serta Yang di-Pertuan Agong tergantung di stesen minyak itu  selain bendera Jalur Gemilang yang berkibaran.

 

Kain rentang itu yang berukuran  8.2 meter panjang dan 1.5 meter lebar memaparkan wajah  enam  Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad  manakala satu lagi kain rentang berukuran sama  memaparkan barisan ksemua Yang di-Pertuan Agong  termasuk Yang di-Pertuan  Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Ini merupakan inisiatif pemilik stesen minyak Petron Melor Datuk Dr Ahmad Omar yang sanggup berhabisan ribuan ringgit bagi memupuk semangat patriotisme terutama dalam kalangan generasi muda sempena Hari Malaysia.

 

“Bagi saya, sangat penting generasi hari ini mengenali dan ambil tahu sejarah bagaimana negara kita terbentuk.

 

“Jika tidak diberi peringatan melalui gambar, tarikh dan peristiwa ringkas mengenai pemimpin negara dan Yang di-Pertuan Agong boleh jadi perkara lain pula yang  diberi perhatian oleh generasi muda pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Stesen Petron Melor di sini.

 

Beliau berhabis antara RM8,000 hingga RM10,000 tahun ini bagi menyatakan rasa cinta dan sayang terhadap tanah air  melakukan keunikan dengan mempamerkan sebuah kereta antik jenis Ford yang popular pada tahun 1938 miliknya  yang memakai nombor plat MF35 berhampiran stesen minyak itu.

 

Kereta itu diletakkan di bawah garaj tanpa dinding yang diperbuat daripada besi keluli dan dihiasi bendera Jalur Gemilang untuk tatapan generasi muda terutama para pelanggan.

 

Setelah menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu, Ahmad berkata Hari Malaysia perlu disyukuri oleh semua warga negara ini tanpa mengira kaum dan agama  kerana sehingga sekarang kita  masih hidup dalam keadaan harmoni dan ada undang-undang yang mesti diikuti tanpa ada unsur perkauman.

 

“Jadi, ingin saya ingatkan agar setiap daripada kita memainkan peranan yang penting dalam menjaga dan meneruskan keharmonian negara ini. Jangan ada yang cuba merosokkannya dan jangan pula bermain dengan api perkauman,” katanya.

 

Ahmad mengingatkan anak muda supaya jangan ghairah untuk campur tangan dalam hal perkauman dan bercakap atau menulis di laman sosial sesuka hati kerana negara ini masih aman setelah Merdeka.

 

“Apabila mendengar Jalur Gemilang dipasang terbalik, saya rasa amat duka cita kerana sebagai rakyat Malaysia, sama-samalah kita patuhi undang-undang dan berganding bahu menghargai  pemimpin terdahulu,” katanya.

 

Berita selanjutnya