Malaysia Warrior juarai kejohanan bola sepak di Jepun

KUALA LUMPUR, 16 Sept : Pasukan Malaysia Warrior mengharumkan nama negara selepas menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Global J-Green Sakai Bawah 12 Tahun (B-12) di Osaka, Jepun, hari ini.

 

Pada aksi final di Pusat Latihan Bola Sepak Kebangsaan Jepun J Green itu, skuad muda negara  mengalahkan pasukan Divisyen Dua Liga Jepun, Ventforet Kofu, 2-0, menurut hantaran terbaharu dalam laman Facebook Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

 

Malaysia Warrior sebelum itu menewaskan Kelab Cerezo Osaka, 2-1 pada aksi suku akhir, sebelum  menundukkan wakil India, RFYU, 1-0 pada aksi separuh akhir.

 

Untuk rekod, pasukan berkenaan muncul Juara Kumpulan B pada pusingan awal kejohanan bola sepak tahunan berkenaan.

 

Satu lagi wakil negara, Malaysia Tiger menamatkan saingan pada tempat ke 13 daripada 24 pasukan yang mengambil bahagian.

 

Pasukan Malaysia Warrior di wakili oleh pemenang Yakult Global Cup Peringkat Kebangsaan dari Kedah Warrior (Akademi Tunas NFDP Kubang Pasu, Akademi Tunas Kuala Muda Yan, Akademi Tunas Kota Setar), selain dua pemain daripada Akademi Tunas Pahang dan Akademi Johor Darul Ta’zim.

 

Pasukan Malaysia Tiger pula diwakili oleh sebahagian pemain pasukan Kedah Warrior, Manjung Soccer Kids, Akademi Tunas Wangsa Maju dan Kelab Fireball​​​​.

 

Berita selanjutnya