Aksi menentang Great Britain, percubaan terakhir Tengku ke Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR, 17 Sept : Penyerang veteran hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil mahu menjadikan perlawanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 sebagai percubaan terakhirnya untuk merealisasikan impian beraksi di temasya berprestij dunia itu.

 

Perlawanan kelayakan bertemu Great Britain pada 2 dan 3 Nov itu merupakan penampilan keempat buat Tengku Ahmad Tajuddin, 33, dalam membantu pasukan negara memburu slot ke Sukan Olimpik.

 

Beliau yang kini telah membuat 297 kap, sebelum ini pernah beraksi untuk negara bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Beijing, China 2008; London, United Kingdom pada 2012 dan Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

 

“Sejujurnya saya sudah tetapkan ini percubaan terakhir untuk saya ke Sukan Olimpik. Ia perjalanan terakhir saya dan saya akan cuba tampilkan persembahan terbaik untuk bantu Malaysian Tigers dapat keputusan yang positif.

 

“Namun jika kita layak ke Sukan Olimpik kali ini dan jurulatih masih perlukan khidmat saya, saya akan teruskan aksi namun jika misi kali ini gagal, buat apa saya hendak teruskan lagi. Bagi peluang kepada pemain muda yang lebih berbakat untuk teruskan misi ke Sukan Olimpik di Paris pula,” katanya kepada media ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

 

Pasukan negara yang kini berada diranking ke-11 dunia diundi untuk bertemu pasukan Great Britain dalam dua aksi penting di Stadium Lee Valley, London.

 

Tengku Ahmad Tajuddin berkata walaupun Malaysia berdepan misi sukar apabila diundi bertemu Great Britain, namun pendedahan pada Siri Jelajah Eropah pada Julai lepas memberi keyakinan kepadanya serta rakan sepasukan untuk beraksi pada perlawanan kelayakan nanti.

 

“Saya rasa pemain berkeyakinan sebab kami sudah melalui beberapa siri perlawanan di Jelajah Eropah, jadi sekarang adalah masa untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap motivasi untuk bersaing dengan Great Britain yang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

 

“Bagi saya buat masa sekarang, dari segi persiapan adalah individu itu sendiri, kelemahan setiap individu perlu diperbaiki. Jurulatih juga ada beri maklum balas apa yang perlu diperbaiki bagi setiap individu,” katanya.

 

Untuk rekod, Malaysia kini dalam misi menamatkan kemarau layak ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir menjejak kaki ke temasya itu pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

 

Skuad kendalian ketua jurulatih, Roelant Oltmans terlebih dahulu akan ke Korea Selatan dari 19 hingga 29 Sept ini bagi empat aksi pemanas badan menentang pasukan kebangsaan negara itu yang Oltmans akan mengenal pasti bahagian yang perlu ditingkatkan sebelum berdepan Great Britain.

 

Empat perlawanan ujian itu akan turut dijadikan sebagai kayu pengukur untuk Oltmans meneliti siapakah pemain yang mungkin akan berada dalam senarai utama 18 pemain bagi menghadapi misi Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

Seramai 20 pemain akan ke Korea Selatan dan selepas pulang daripada Korea Selatan, pemilihan 18 pemain terbaik untuk aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo akan dilakukan.

 

 

Berita selanjutnya