HUSM tawar tiga kaedah rekonstruksi payudara

KOTA BHARU, 17 Sept  : Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menawarkan tiga kaedah rekonstruksi (pembinaan semula) bagi memulihkan dan mendapatkan kembali bentuk payudara pesakit kanser.

 

Pakar Bedah Rekonstruksi dan Pembedahan Plastik HUSM Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar berkata, antara jenis rekonstruksi yang ditawarkan adalah Autologus iaitu menggunakan tisu tubuh badan dari pesakit sendiri, Prostesis (payudara palsu/implan), atau gabungan kaedah Autologus dan Prostesis.

 

Katanya, sebaik disahkan menghidap kanser payudara wanita dinasihatkan supaya menjalani pembedahan mastektomi (membuang kawasan payudara yang terkena sel kanser) yang diikuti dengan radioterapi ataupun kemoterapi sekiranya memerlukan.

 

“Selepas menjalani pembedahan mastektomi, kita akan menyarankan pesakit menjalani kaedah rekonstruksi untuk memulihkan atau mengembalikan bentuk payudara mirip asal,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita di ceramah “Tergantikah Mahkota Kedua Wanita” yang dihadiri 30 peserta yang terdiri daripada kakitangan HUSM, penghidap kanser dan pakar-pakar pelatih di Kampus Kesihatan HUSM di sini, hari ini.

 

Siti Fatimah Noor berkata, namun kaedah Autologus merupakan kaedah rekonstruksi yang terbaik berbanding kaedah lain dan sentiasa menjadi pilihan dalam kalangan pesakit kanser payudara kerana ia mampu bertahan dalam tempoh yang lama.

 

“Malah, melalui kaedah ini payudara yang dibina melalui tisu tubuh pesakit sendiri yang diambil daripada bahagian lain pada tubuh ternyata dapat menghasilkan payudara seakan semulajadi yang lembut dan mengikut suhu badan.

 

“Kebanyakan pesakit menolak untuk menggunakan kaedah prostesis kerana berdepan dengan kekeliruan fatwa mengenai benda asing didalam tubuh badan selain kos rawatan kaedah ini agak tinggi yang boleh mencecah sehingga RM3,000 bagi satu implan bergantung kepada jenis dan kualiti,” katanya.

 

Katanya, sehingga kini, seramai 500 pesakit kanser payudara telah menjalani pelbagai kaedah rekonstruksi di HUSM.

 

Berita selanjutnya