Quartararo, Morbidelli harapkan momentum positif di GP Aragon

KUALA LUMPUR, 17 Sept : Dua pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli yang baru menamatkan perlumbaan di Grand Prix (GP) San Marino dengan masing-masing menduduki tempat kedua dan kelima, kini mereka berharap memontum kehebatan itu akan berterusan di GP Aragon di Sepanyol hujung minggu ini.

 

Bagi Quartararo, beliau memperoleh motivasi untuk meneruskan momentum positif di Litar Aragon selepas berjaya menampilkan persembahan mantap menumpaskan juara dunia MotoGP Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda di pusingan terakhir GP San Marino.

 

“Sasaran pertama di Litar Aragon nanti adalah untuk sekali lagi berada di barisan hadapan semasa permulaan perlumbaan, kerana kita memerlukan permulaan yang baik, dan akan terus berusaha membuat yang terbaik, seperti biasa,” kata pelumba dari Perancis yang berumur 20 tahun itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya hari ini.

 

Morbidelli pula berharap untuk mengulangi keputusan positif yang yang dilakukannya di GP British, dan juga di GP San Marino.

 

“Kami harap keadaan sama seperti yang kami lalui minggu lepas walaupun kami tahu litar Aragon itu mempunyai laluan lurus yang jauh, kerana kami merasakan sering dapat membuat pecutan yang lebih baik semasa di selekoh,” katanya.

 

“Saya pernah menang di sana (Litar Aragon Circuit) pada tahun 2017 dalam kategori Moto2 dan saya pernah menaiki podium pada musim sebelumnya, dan tahun lepas saya amat pantas,” kata pelumba dari Itali yang berumur 24 tahun itu yang masih belum menaiki podium dalam perlumbaan MotoGP musim ini.

 

Quartararo dan Morbidelli masing-masing kini berada di tempat ke-tujuh dan ke10 dalam kedudukan MotoGP dengan mengumpul 112 dan 80 mata selepas 13 perlumbaan.

 

Berita selanjutnya