Jerebu: Semua penerbangan di LTSAS, Ipoh, batal, 1,418 penumpang terjejas

IPOH, 18 Sept : Seramai 1,418 penumpang terjejas berikutan semua penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan akibat cuaca jerebu hari ini, kata Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman.

 

Beliau berkata penerbangan dibatalkan sejak pukul 9.45 pagi tadi melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd; laluan Ipoh-Johor Bahru-Ipoh (Malindo) dan syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot iaitu laluan Singapura-Ipoh-Singapura.

 

“Enam penerbangan melibatkan 12 pergerakan pergi dan balik ke Singapura dan Johor Bahru itu perlu dibatalkan demi keselamatan dan operasi akan diteruskan semula apabila cuaca semakin baik.

 

“Jarak penglihatan adalah pada kadar 1,500 meter (m) pada sebelah pagi dan merosot kepada 800m pada sebelah petang tadi,” katanya kepada pemberita di sini.

 

Beliau berkata penerbangan pertama yang telah dibatalkan adalah pada jam 9.45 pagi tadi iaitu penerbangan ke Singapura.

 

Mohd Ali berkata pihaknya akan mewujudkan pusat sehenti di lapangan terbang berkenaan bagi membantu penumpang mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerrbangan.

 

“Bagi hari ini, penumpang diberikan gantian penerbangan pesawat pada hari esok dan selanjutnya namun kebanyakan penumpang yang membatalkan tempahan dan memilih untuk menggunakan perjalanan darat,” katanya.

 

Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar LTSAS lengang daripada orang ramai akibat pembatalan semua penerbangan hari ini malah kereta sewa dan teksi turut tidak kelihatan di luar terminal petang tadi.

 

Bagaimanapun masih terdapat beberapa penumpang yang berada di lapangan terbang itu bagi mendapatkan ganti rugi tempahan tiket sehingga pukul 5 petang sebelum kaunter mula ditutup.

 

Seorang penumpang, Johnathan Giam Kah Yong, 43, berkata beliau terkejut apabila menerima e-mel mengenai pembatalan penerbangan ke Singapura pada jam 1 tengah hari tadi.

 

“Saya sepatutnya menaiki penerbangan pada jam 5.25 petang ini bersama seorang lagi rakan setelah berada di Malaysia sejak Ahad lalu untuk bertemu rakan-rakan di sini,” katanya.

 

Johnathan berkata mereka diberikan penginapan di sebuah hotel oleh pihak LTSAS hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Lembah Klang untuk pulang ke Singapura dengan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 7 malam esok.

 

Jumaat lalu, seramai 549 penumpang terkandas di lapangan terbang sama berikutan tiga penerbangan tergendala akibat jerebu.

 

Berita selanjutnya