Jualan penutup hidung dan mulut meningkat ketara berikutan keadaan berjerebu

Oleh Farhana Poniman

 

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Jualan penutup hidung dan mulut di Malaysia meningkat ketara memandangkan orang ramai mengambil langkah pencegahan susulan keadaan berjerebu di negara ini masih tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan.

 

Pengarah Pemasaran bagi Asia Tenggara, Guardian Health & Beauty Sdn Bhd, DY Cho berkata pihaknya mencatatkan peningkatan jualan penutup hidung dan mulut melebih 100 peratus bagi tempoh 17 hari pertama September berbanding angka yang dicatatkan sebulan penuh Ogos.

 

“Kami merekodkan peningkatan mendadak bagi jualan penutup hidung dan mulut khususnya N95,” katanya kepada Bernama hari ini.

 

Cho berkata poster kesedaran mengenai jerebu turut dipaparkan di laman Facebook dan Instagram Guardian untuk mengingatkan pelanggan mengenai kepentingan mengelakkan aktiviti di luar bangunan dan menjaga kesihatan mereka.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh pula berkata pihaknya merekodkan peningkatan jualan penutup hidung dan mulut sejak keadaan berjerebu mula dikesan.

 

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengekalkan tahap hidrasi dengan meminum air secukupnya.

 

Menurut Jabatan Alam Sekitar, Indeks Pencemaran Udara (API) di kebanyakan lokasi di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Sarawak menunjukkan bacaan amat tidak sihat, apabila melebihi paras 200 setakat pukul 2 petang.

 

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) serta 300 ke atas (berbahaya).

 

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai, terutamanya yang tinggal di kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat supaya mengelakkan aktiviti fizikal kerana ia akan meningkatkan kadar penafasan.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyeru orang ramai memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di luar bangunan, selain memastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih serta mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok.

Berita selanjutnya