Tumpahan minyak sepanjang 800 meter di perairan Mersing

JOHOR BAHRU, 18 Sept: Satu tumpahan minyak melibatkan kawasan sepanjang 800 meter di perairan Mersing telah dikenal pasti sehingga menjejaskan kawasan berhampiran seperti Pulau Rawa dan Pulau Besar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon berkata kerajaan negeri memandang serius insiden tumpahan minyak yang dilaporkan oleh penduduk setempat pada 15 Sept lepas.

 

“Untuk makluman, punca insiden tumpahan minyak berkenaan masih lagi disiasat memandangkan tiada sebarang kejadian pelanggaran kapal mahupun penahanan kapal berdasarkan sumber daripada Jabatan Laut Malaysia.

 

“Dapatan awal setakat ini merumuskan kapal di perairan antarabangsa dilihat berpotensi sebagai punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Susulan daripada itu, Tan berkata kerajaan negeri telah menggerakkan agensi-agensi yang berkaitan untuk melakukan pemantauan dan mengaktifkan pelan tindakan segera bagi mengekang insiden tersebut daripada memberi kesan kepada perairan di Mersing.

 

Sebagai langkah awal, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memaklumkan insiden tersebut kepada Jabatan Laut Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mempergiat pemantauan dan rondaan manakala Pejabat Daerah Mersing pula akan mengaktifkan Pelan Pembersihan Pantai di kawasan tersebut.

 

“Pemantauan turut dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor semalam namun tiada sebarang penemuan sisa minyak yang ditemui di perairan tersebut akibat faktor seperti ombak besar, angin kuat dan berjerebu,” tambahnya.

 

Sebagai langkah pengawalan dan pencegahan, kerajaan negeri turut meminta agar setiap agensi berkaitan melakukan latihan operasi pembersihan perairan secara bersepadu berdasarkan Pelan Pembersihan Pantai yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Mersing.

 

“Langkah tersebut adalah satu keperluan bagi memastikan perairan Mersing yang menjadi aset pelancongan kekal terjamin dan bebas daripada pencemaran sekali gus mampu menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Johor pada tahun hadapan,” katanya.

 

Pihaknya turut menyatakan penghargaan kepada penduduk setempat atas tindakan proaktif menyalurkan insiden berkenaan kepada JAS dan turut tampil melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut.

 

— BERNAMA

Berita selanjutnya