Korea Selatan pamer keupayaan pesawat F-35A

SEOUL, 1 Okt : Korea Selatan buat julung kali mempamerkan pesawat pejuang F-35A kepada umum semasa majlis sambutan Hari Angkatan Tentera, meskipun langkah membawa masuk jet yang dibangunkan dengan teknologi senyap itu menerima kecaman Korea Utara.

 

Agensi berita Yonhap melaporkan, sehingga kini Korea Selatan telah membawa masuk lapan F-35A, bermula dengan dua buah pesawat pada akhir Mac.

 

Negara berkenaan merancang menggunakan 40 jet pejuang generasi kelima itu menjelang 2021. Namun, ketibaan pesawat juang itu agak perlahan mencetuskan spekulasi Seoul takut dengan ancaman Korea Utara.

 

Pada sambutan Hari Angkatan Tentera ke-71 yang diadakan di pangkalan Angkatan Tentera ke-11 di Daegu pada Selasa itu, empat daripada lapan jet pejuang digerakkan “bagi memperlihatkan kehebatannya,” menurut Kementerian Pertahanan.

 

Sebuah lagi pesawat dipamerkan bersama dengan aset ketenteraan strategik utama negara yang lain dan Presiden Moon Jae-in dijadual melawat pameran berkenaan serta akan merasmikannya.

 

Jet pejuang generasi terkini itu dijangka meningkatkan keupayaan operasi dan memperkuat tahap kesediaan terhadap ancaman dari semua arah.

 

Pesawat itu berupaya terbang pada kelajuan tertinggi mencecah Mach 1.8 dengan dilengkapi dengn sistem dan senjata canggih.

 

Menjelang akhir tahun ini, Korea Selatan dijangka memperkenalkan 13 F-35A, dan mengkaji semula sama ada akan membeli 20 unit lagi.

 

Korea Utara berterusan mengkritik tindakan Korea Selatan itu, mendakwa langkah berkenaan bertujuan menghancurkan Korea Utara dan mengancam keamanan di Semenanjung Korea serta di rantau ini.

 

Berita selanjutnya