MyNEWS lancar pusat makanan sedia dimakan yang diilhamkan dari Jepun

KUALA LUMPUR, 2 Okt : Pelbagai makanan yang diilhamkan dari Jepun tetapi memenuhi cita rasa  rakyat Malaysia seperti roti sandwic, onigiri, bento, roti panggang segar, minuman panas dan sejuk, laksa kari dan nasi lemak dan lain-lain akan tersedia di kedai myNEWS, rantaian kedai runcit tempatan terbesar di Malaysia.

 

Terima kasih kepada MyNEWS Holdings Berhad yang telah melancarkan pusat pengeluaran makanan (FPC) yang diilhamkan dari Jepun  untuk meningkatkan pasaran kemudahan tempatan dengan piawaian tertinggi kualiti, kebersihan dan kesegaran.

 

Pusat pengeluaran yang beroperasi di bawah anak syarikatnya myNEWS Ryoyupan Sdn Bhd dan MyNEWS Kineya Sdn Bhd, akan membekalkan kedai myNEWS dengan pelbagai jenis makanan siap sedia dimakan (RTE) yang berkualiti tinggi.

 

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyNEWS Holdings Berhad Dang Tai Luk berkata menyedari tentang meningkatnya keperluan bagi akses yang mudah ke kedai runcit yang menawarkan makanan yang berkualiti untuk kemudahan dan penggunaan pantas, myNEWS telah mengambil inisiatif untuk membawa pemain industri makanan terkenal dari Jepun sebagai rakan kongsi.

 

“Kami mahukan para pelanggan kami merasai pengalaman serupa  seperti di kedai-kedai runcit di Jepun, Taiwan dan Thailand di mana para pelanggan boleh masuk dan mencari serta menikmati apa yang mereka inginkan. Kini, kami mempunyai keupayaan untuk menawarkan kemudahan dengan kualiti, “katanya.

 

“Kami juga pada masa yang sama meningkatkan kemudahan kepada para pelanggan kami dengan melancarkan perkhidmatan penghantaran dalam talian myNEWS DASH, pilihan  untuk pelanggan yang inginkan supaya  makanan dan keperluan harian  mereka dihantar ke depan pintu rumah,” katanya.

 

Pelanggan di Lembah Klang kini boleh memenuhi keinginan mereka di lebih  300 cawangan myNEWS terpilih.

Berita selanjutnya