Kerajaan digesa kekalkan dasar cukai semasa bagi kestabilan ekonomi

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Kerajaan perlu mengekalkan dasar ekonomi semasa, terutama berkaitan pencukaian, dalam usaha menyediakan persekitaran yang stabil di samping mewujudkan sentimen lebih baik untuk pasaran global, kata Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Liew Ooi Hann.

 

Beliau berkata dalam memutuskan sama ada untuk terus menggunakan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan, kerajaan seharusnya terlebih dahulu mempertimbangkan kestabilan sistem cukai berkenaan untuk ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

 

“Bagi tempoh ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, kekukuhan dasar cukai adalah penting untuk Malaysia.

 

“Apa yang Malaysia perlu lakukan ialah menguar-uarkan kepada dunia bahawa negara ini terbuka bagi perniagaan selain memiliki dasar cukai yang stabil, yang tidak mudah berubah,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman hasil dapatan Kajian Celik Kewangan Malaysia 2019 RinggitPlus di sini, hari ini.

 

Liew berharap kerajaan akan menambah pelepasan cukai bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada RM10,000 dalam Belanjawan 2020 atau mengekalkan had sedia ada.

 

Pada 2019, kerajaan meningkatkan pelepasan cukai bagi deposit SSPN oleh ibu bapa daripada RM6,000 kepada RM8,000 setahun.

 

Sementara itu, mengenai hasil dapatan kajian tersebut, beliau berkata hampir 70 peratus rakyat Malaysia mengatakan mereka dapat mengawal kewangan.

 

Bagaimanapun, menjadi kebimbangan apabila 53 peratus daripada 8,000 responden mengakui bahawa mereka tidak dapat bertahan lebih daripada tiga bulan dengan simpanan masing-masing, katanya.

 

Selain itu 89 peratus responden mengatakan tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mereka tidak mencukupi untuk persaraan, manakala 34 peratus pula tidak mempunyai rancangan persaraan.

Berita selanjutnya