Memanah bawa sinar baharu dalam hidup Mohd Fandy selepas kehilangan kaki

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

 

JOHOR BAHRU, 6 Okt:  Kehilangan kedua-dua belah kaki akibat kemalangan jalan raya pada tahun lepas mendorong seorang pemuda, Mohd Fandy Mohamad Redzuan Tan, 29, untuk menceburi sukan memanah.

 

Menyifatkan kemalangan terbabit sebagai satu hikmah, Mohd Fandy, 29, berkata pembabitannya dalam sukan itu membawa sinar baharu dalam hidupnya sejak mula berjinak-jinak dengan sukan tersebut, awal tahun ini.

 

Mohd Fandy yang menerima bimbingan dan latihan daripada jurulatih kelab Hafa Archery Selangor berkata dia  menaruh harapan tinggi untuk mewakili negara satu hari nanti dan buat masa ini giat menyertai pelbagai kejohanan memanah dalam negara bagi mengutip pengalaman.

 

“Saya kena belajar memanah bersungguh sungguh, fahami betul-betul peraturan dan semua kelengkapan memanah dengan sebaiknya sebelum bersedia ke peringkat lebih jauh seperti paralimpik.

 

“Yang penting, saya kena kuat semangat. Walaupun ayah sudah tiada, tetapi ibu, adik-adik, keluarga Hafa Archery dan kawan-kawan lain selalu beri sokongan. Insya-Allah saya boleh berjaya,” kata anak sulung daripada lima beradik itu ketika ditemui  Bernama pada Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor ke-4 yang berlangsung sejak Rabu lepas sehingga hari ini, di Dataran Bandaraya, di sini, hari ini.

 

Mohd Fandy yang masih bujang merupakan antara 388 atlet memanah dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Fillipina, Australia dan Brunei yang menyertai kejohanan antarabangsa terbuka anjuran Persatuan Memanah Negeri Johor berkenaan.

 

Walaupun tersingkir seawal pusingan pertama kategori lelaki individu recurve, anak jati Kuala Lumpur itu tidak putus semangat dan menjelaskan akan menyertai lagi kejohanan antarabangsa itu pada tahun depan.

 

“Ini kali pertama menyertai kejohanan antarabangsa seumpama ini. Pengalaman saya belum banyak lagi tetapi syukur diberi peluang…seronok dan kejohanan sebesar ini adalah pengalaman yang susah kita hendak dapat,” katanya, yang merupakan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Sungai Buloh, Selangor.

 

Sementara itu, jurulatih Hafa Archery Selangor, Faridah Osman berkata Mohamad Fandy merupakan antara atlet yang rajin dan cepat mempelajari sukan itu.

 

“Dia (Mohd Fandy) atlet yang sangat cepat belajar, pertamanya, mungkin kerana dia reda dengan ketentuan Allah (kehilangan kedua-dua belah kaki). Kedua, mungkin kami di sini (Hafa Archery Selangor) mendidik kesemua atlet supaya berdikari.

 

“Satu perkara lagi, sukan memanah ini senang, kalau rajin, maka, dapatlah ilmu itu, Kalau malas, memang sukar. Jurulatih juga ibarat ibu bapa di mana kalau atlet mendengar cakap jurulatih, insya-Allah boleh berjaya,” katanya.

 

Faridah yang berpengalaman selama 30 tahun melatih atlet memanah di Selangor mahupun di peringkat kebangsaan berkata seramai 22 atlet memanah termasuk paralimpik di bawah kelab berkenaan dihantar menyertai kejohanan antarabangsa terbuka itu.

 

Menurutnya, menerusi penyertaan berkenaan, atlet di bawah kendaliannya dapat menerima pelbagai pendedahan termasuk menghadapi Sukan Malaysia Johor 2020.

 

Berita selanjutnya